Di ruang tamu sebuah unit pangsapuri kos rendah, sepasang suami isteri duduk di atas sofa lusuh sambil mengimbau kematian anak perempuan mereka beberapa tahun lalu.
Anak kecil mereka sendirian ketika kejadian – bapanya keluar bekerja dan ibunya pula sedang menguruskan kakak di sekolah.
Bersendirian di rumah, dia mati terjatuh dari salah satu tingkap rumah yang terbuka.
Hari ini, ibu bapanya masih bersedih atas kehilangannya.
Lawatan ke tempat kejadian mendapati terdapat satu “aura” yang pelik ditunjukkan oleh ibu bapa mangsa.
Mereka kelihatan takut dan runsing berbanding sedih dan kemurungan selepas kematian anak tersayang.
Kata si bapa, dia perlu bekerja lebih keras untuk keluar dari hidup yang susah.
Supaya tiada lagi anaknya yang akan terkorban.
Apa maksud si bapa ini?
Dia seolah-olah memberi bayangan bahawa kemiskinan yang menyebabkan anaknya pergi buat selamanya.
Dengan menceritakan sisi gelap kejadian itu, si ibu pula dengan berat hati menyebut kesempitan hidup mengakibatkan dia dan si bapa tidak mampu untuk mengupah pengasuh menjaga anak-anak yang masih kecil.
Tiada pilihan, anak-anak ditinggalkan di rumah untuk menguruskan anak-anak lain ke sekolah.
Ada masa, ditinggalkan sekali lagi untuk membeli barang dapur dan keperluan harian.
Kemiskinan juga menyebabkan mereka tiada kereta untuk membawa sekali anak-anak bersama ketika keluar dari rumah.
Kemiskinan turut memberi kesan dalam hubungan sosial dengan jiran tetangga.
Apabila si ibu meminta bantuan jiran-jiran untuk memantau keadaan anak-anak di rumah dengan kerap tanpa sebarang bayaran mahupun RM10, lama kelamaan hubungan menjadi semakin renggang.
Akhirnya, si ibu tidak lagi meminta tolong dan rela membiarkan anak-anak bersendirian di dalam rumah.
Ketika itu, si bapa dengan hati yang berkecamuk meluahkan perasaan.
“Tidak mengapa anak saya pergi. Kalau dia masih hidup pun dia akan (hidup) susah.”
Kenyataan itu menjadi saksi semua situasi terburuk yang boleh berlaku disebabkan kemiskinan.
Dan, kemiskinan kanak-kanak menyaksikan seorang terkorban di usia yang amat muda, tanpa sempat menikmati keseronokan hidup sebagai anak kecil.
Kemiskinan kanak-kanak masih janggal
Di Malaysia, kemiskinan kanak-kanak masih tidak mendapat perhatian meluas.
Malah, istilahnya juga masih dirasai janggal oleh beberapa pihak.
Menurut pakar ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam Abdul Rashid, meskipun kemiskinan kanak-kanak secara istilahnya masih belum disebut-sebut oleh orang ramai, keadaan itu sememangnya wujud dan berlaku dalam negara.
Katanya, sehingga kini masih tiada data yang tepat untuk mendefinisikan kemiskinan kanak-kanak.
Bagaimanapun, ianya boleh dikesan melalui gaya hidup, pendapatan dan keadaan isi rumah yang disifatkannya sebagai dimensi kemiskinan yang semakin meluas.
“Jadi, masalah itu berapa besar, saya tidak boleh untuk sahkan dengan data.
“Tetapi berdasarkan bukti-bukti anecdotal evidence (data-data yang tak dapat dikumpul), perkara itu wujud dan perlu ada bentuk dasar yang tuntas untuk kita selesaikan masalah ini baik di bandar atau di luar bandar,” katanya kepada MalaysiaNow.
Jika diteliti semula, kemiskinan kanak-kanak sangat berkait rapat dengan beberapa isu. Antaranya pemakanan yang tidak seimbang, keciciran dalam pelajaran, tiada akses kepada peranti pembelajaran dalam talian dan kemiskinan haid.
Meskipun penggunaan istilah kemiskinan kanak-kanak tidak meluas, isu-isu di dalam topik itu sudah lama dibangkitkan untuk perhatian ramai pihak.
Atas sebab itu, Afzanizam berkata senjata yang paling berimpak untuk menangani permasalahan ini mestilah melalui pendidikan.
Katanya, sejak negara berdepan krisis kesihatan akibat penularan Covid-19, banyak aspek dalam pendidikan menjadi perlahan dan pembangunan insan murid-murid turut menjadi terencat akibat proses pembelajaran dalam talian dan sesi persekolahan secara fizikal ditutup.
“Sudah pasti mereka yang tiada akses kepada (proses) itu mungkin ada berlaku ketinggalan dari sudut pembelajaran mereka.
“Soalnya sekarang macam mana kita nak kembali kepada landasan bagi mereka kanak-kanak ini. Memang tak dapat nak dielakkan, faktor pendidikan sangat penting.”
Selain itu, katanya isu kesihatan juga amat penting untuk kanak-kanak.
Bagi mereka yang berada dalam kelompok miskin, aspek utama yang perlu diberi perhatian adalah diet dan pemakanan seimbang.
Dengan memberikan contoh dari Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) yang pernah melaporkan tentang kekurangan nutrisi dan zat dalam pemakanan kanak-kanak miskin tegar, Afzanizam berkata sekolah menjadi platform terbaik untuk menyediakan makanan sihat kepada mereka.
Namun, penutupan sekolah selama hampir dua tahun mengakibatkan kanak-kanak miskin tiada ruang untuk mendapat akses makanan melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah.
Tambahnya, pihak sekolah perlu memastikan menu diet yang disediakan mestilah menepati kehendak kualiti yang sewajarnya.
Ini memandangkan, Jabatan Audit Negara pernah menulis mengenai program RMT yang mempunyai senarai menu yang di bawah standard dan tersasar daripada keperluan khasiat kanak-kanak.
“Apabila kita bila nak cakap pasal perkembangan ekonomi ini, sebaiknya pentakrifannya juga perlu diperluaskan.
“Dalam kes ni, kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak dan saya mengutarakan aspek pendidikan.
“Saya nampak platform terbaik adalah di sekolah (merangkumi) aspek pendidikan dan kesihatan murid,” katanya.