Kerajaan sementara Afghanistan berkata pada Khamis India akan menyediakan lebih banyak kemudahan untuk membantu negara ini mempertingkatkan eksport, ketika delegasi India mengadakan perbincangan dengan pemangku Menteri Luar Amir Khan Muttaqi di Kabul.
Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi menerusi Twitter berkata India baru-baru ini membuka sempadan dan pelabuhannya untuk eksport Afghanistan dan akan menyediakan kemudahan lain di kawasan ini untuk membantu Afghanistan memperluaskan eksportnya.
Beliau berkata perbincangan itu tertumpu kepada hubungan diplomatik India-Afghanistan, perdagangan dua hala dan bantuan kemanusiaan.
Delegasi India juga mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar, Sher Mohammad Abbas Stanekzai.
Sementara itu di New Delhi, jurucakap Kementerian Luar, Arindam Bagchi berkata lawatan itu adalah mengenai bantuan kemanusiaan yang ditawarkan India kepada Afghanistan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan sama ada lawatan berkenaan menunjukkan India mungkin akan mengiktiraf pentadbiran baru Afghanistan.
“Lawatan yang dibuat adalah untuk memantau penyampaian bantuan kemanusiaan,” katanya.