- Iklan -
Berita

KPWKM gesa keluarga rawat, tidak sembunyi anak berperangai ‘pelik’

TImbalan menteri KPWKM Siti Zailah Yusof berkata mereka yang mempunyai ciri-ciri gangguan mental perlu dirawat segera bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku sekiranya dibiarkan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pesakit mental perlu menjalani rawatan susulan sehingga benar-benar sembuh bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku ekoran ketidakstabilan psikologi mereka. Gambar: Bernama
Pesakit mental perlu menjalani rawatan susulan sehingga benar-benar sembuh bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku ekoran ketidakstabilan psikologi mereka. Gambar: Bernama

Ibu bapa atau ahli keluarga diminta supaya tidak menyembunyikan perangai “pelik” anak masing-masing yang dilihat mempunyai ciri-ciri gangguan mental, selain perlu segera mendapatkan rawatan susulan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Yusof berkata ia bagi mengelakkan perkara lebih buruk berlaku sekiranya dibiarkan.

“Keluarga yang terdekat mesti bertanggungjawab, contohnya nampak anak ‘pelik’ (gangguan mental) mesti beritahu (pihak berkaitan). Jiran pula kalau dengar (teriakan, pergaduhan) mainkan peranan dengan melaporkan kepada polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau saluran lain sedia ada.

“Boleh telefon, hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana kita mesti kena jadi masyarakat yang peka dan bertanggungjawab dengan keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas memberi sumbangan perabot terpakai dari Singapura kepada mangsa banjir di Mantin, Nilai semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden seorang wanita warga emas berusia 68 tahun yang dipercayai dibunuh dengan badannya dikerat 15 bahagian oleh anaknya sendiri di Parit Buntar, Perak.

Suspek yang berusia 42 tahun itu pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang 20 tahun lepas, namun tidak membuat rawatan susulan selepas itu.

Meluahkan kebimbangannya apabila segelintir masyarakat pada masa kini dilihat semakin hilang rasa sayang dan hormat terhadap keluarga, Siti Zailah berkata institusi kekeluargaan perlu diperkuatkan dan ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya tidak terjebak dengan perkara tidak baik termasuk menerusi didikan agama.

Dalam pada itu, beliau berkata Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjalankan pelbagai inisiatif bagi membina Keluarga Malaysia yang sejahtera termasuk menerusi program Jelajah Kasih Keluarga.

Menurutnya seramai 304,982 Sukarelawan Skuad Waja di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) turut digerakkan bagi memberikan bantuan dan perkhidmatan psikososial kepada masyarakat yang memerlukan.

Sementara itu, Siti Zailah menyeru semua pihak termasuk individu atau syarikat agar menyumbangkan perabot dan peralatan rumah yang ingin dilupuskan tetapi masih dalam keadaan baik, kepada mangsa banjir.

Beliau berkata ia bagi meringankan bebanan mangsa banjir yang mengalami kerosakan rumah sepenuhnya, walaupun ada di antara mereka sudah menerima bantuan berupa barangan elektrik.

Jelasnya bermula November 2021 hingga Mac lepas, bencana banjir ekoran Monsun Timur Laut menyebabkan 50,814 keluarga di seluruh negara terjejas dengan 181,979 mangsa ditempatkan di pusat penempatan sementara.