- Iklan -
Berita

RAM dakwa komposisi pemegang sahamnya tidak jejaskan kebebasan

Ia berkata beberapa langkah perlindungan utama dirangka bagi memastikan kebebasan dan integritinya tidak terjejas.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Mont Kiara, Kuala Lumpur. Suruhanjaya Sekuriti baru-baru ini meluluskan pengambilalihan RAM Holdings oleh CTOS Digital yang diberi lampu hijau mengambil alih lebih dari 51% kepentingan dalam syarikat itu.
Ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Mont Kiara, Kuala Lumpur. Suruhanjaya Sekuriti baru-baru ini meluluskan pengambilalihan RAM Holdings oleh CTOS Digital yang diberi lampu hijau mengambil alih lebih dari 51% kepentingan dalam syarikat itu.

RAM Holdings Bhd hari ini menegaskan integriti dan kebebasannnya tidak akan terjejas dengan pengambilalihan oleh CTOS Digital Bhd, mengatakan syarikat itu dan anak syarikatnya RAM Rating Services Bhd “dikawal selia secara ketat” oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif RAM Holdings Chris WK Lee menyenaraikan beberapa langkah perlindungan utama yang telah diambil pihaknya dalam operasi harian agensi penarafan kredit itu, termasuk perlu mendapatkan kelulusan dari SC bagi sebarang perubahan dalam struktur pegangan saham yang menyebabkan satu pihak boleh memegang kepentingan sebanyak 20% atau lebih.

“SC tidak akan memberikan kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjangkaui had yang ditetapkan ini jika ia dilihat memudaratkan kepentingan utama agensi penarafan kredit dan pasaran bon,” tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, lembaga pengarah RAM Holdings dan RAM Ratings terdiri daripada “pengarah bebas melainkan pengarah eksekutifnya”.

“Semua pengarah termasuk ketua eksekutif, timbalan ketua eksekutif dan ahli jawatankuasa penarafan adalah tertakluk di bawah kelulusan SC,” katanya.

“Malahan, tempoh jawatan pengarah dan ahli jawatankuasa penarafan juga tertakluk kepada had maksimum.”

Lee juga berkata dengan pengecualian tugas pengawasan tadbir urus, lembaga pengarah tidak mengambil bahagian dalam operasi agensi tersebut, mengatakan ia adalah ruang lingkup tugas CEO dan kakitangan pengurusannya.

“Semua tindakan penarafan oleh RAM Ratings diputuskan dan diberikan oleh jawatankuasa penarafan bebas,” katanya.

“Pengerusi dan majoriti ahli yang membentuk jawatankuasa penarafan adalah individu luar yang mempunyai kepakaran berkaitan di mana mereka tidak mengambil bahagian dalam operasi agensi penarafan kredit.”

Lee turut menambah bahawa SC menyemak pendaftaran agensi itu selain turut menjalankan pemeriksaan secara berkala ke atas rekod pematuhan RAM Holdings dan RAM Ratings, di mana kedua-duanya “sentiasa memenuhi syarat-syarat pendaftaran agensi penarafan kredit”.

Minggu lalu, MalaysiaNow melaporkan kebimbangan berhubung kebebasan dan kredibiliti RAM Holdings berikutan tindakan SC meluluskan pengambilalihan syarikat itu oleh CTOS Digital, di mana ia dibenarkan untuk mendapatkan lebih dari 51% pegangan saham dalam RAM.

RAM ditubuhkan oleh Bank Negara pada 1990 bagi menyokong pasaran modal tempatan, dan dianggap sebagai peneraju industri dalam penarafan kredit.

Perlembagaannya menghalang mana-mana individu pemegang kepentingan daripada memiliki lebih daripada 20% saham syarikat – had yang dilaporkan oleh MalaysiaNow bakal diundi pada mesyuarat agung tahunan (AGM) RAM akan datang.

Pindaan yang dicadangkan itu dijangka akan menyebabkan perubahan drastik, apabila pemegang saham boleh memiliki pegangan lebih daripada 20% selagi “kelulusan daripada SC dan/atau pihak berkuasa berkaitan… diterima berpandukan undang-undang, syarat dan garis panduan dari semasa ke semasa yang dikuatkuasakan SC dan/atau pihak berkuasa berkaitan untuk membolehkan ahli memiliki saham syarikat lebih daripada had yang ditetapkan.”

Kebimbangan juga turut dibangkitkan mengenai komposisi pemegang sahamnya dan kemungkinan berlaku konflik kepentingan membabitkan beberapa individu dalam CTOS di mana seorang penganalisis pasaran modal berkata “bahawa sekurang-kurangnya seorang pengarah bukan eksekutif CTOS mempunyai kedudukan dalam ahli lembaga pengarah SC.”

Namun Lee berkata pindaan yang dicadangkan itu memerlukan kelulusan sebanyak 75% pemegang saham.

“RAM Holdings yakin operasi penarafan kredit kami di RAM Ratings tidak akan terjejas dan akan kekal bebas, tanpa mengira keputusan undian (itu),” tambahnya.

“Walaupun berlaku beberapa perubahan pegangan saham pada masa lalu, sekarang dan masa akan datang, integriti dan kebebasan agensi penarafan kredit (“CRA”) akan terus menjadi asas kepada operasi RAM Ratings – ditubuhkan untuk berkhidmat demi kepentingan semua peserta pasaran bon.”