- Iklan -
Berita

Mencukai golongan kaya untuk ganti GST tidak realistik, kata pakar ekonomi

Mereka berkata cukai terhadap orang kaya sukar untuk dilaksanakan dan lebih baik untuk mengenakan cukai kepada golongan itu ketika mereka berbelanja.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan menerima resit dengan maklumat cukai GST daripada kaunter di sebuah pasar raya Kuala Lumpur pada 1 April 2015. GST dimansuhkan pada 2018 namun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan sistem cukai itu semula. Gambar: AFP
Seorang pelanggan menerima resit dengan maklumat cukai GST daripada kaunter di sebuah pasar raya Kuala Lumpur pada 1 April 2015. GST dimansuhkan pada 2018 namun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini berkata kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan sistem cukai itu semula. Gambar: AFP

Walaupun menarik dari segi teori, namun ahli ekonomi mengatakan cukai terhadap individu terkaya bukan satu penyelesaian untuk menampung kehilangan pendapatan kerajaan akibat pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kira-kira empat tahun lalu.

Perbahasan mengenai GST kembali hangat selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengeluarkan kenyataan dalam sebuah wawancara bersama agensi Nikkei bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula sistem cukai itu.

Menurutnya, Putrajaya tidak mempunyai pilihan yang banyak, dan sudah kehilangan RM20 bilion hasil tahunan selepas GST dimansuhkan.

GST dengan kadar 6% dilaksanakan di Malaysia pada 2015, namun kemudiannya dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipimpin Dr Mahathir Mohamad selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Dalam pada itu, PH sendiri turut membantah GST diperkenalkan semula, mengatakan sebarang langkah memperkuatkuasakan GST semula akan menyebabkan harga barangan naik secara mendadak.

Sementara Parti Sosialis Malaysia (PSM) berkata kerajaan boleh mendapat hasil sebanyak RM20.52 bilion dengan memperkenalkan cukai baru terhadap individu yang mempunyai kekayaan RM1 bilion ke atas.

Bagaimanapun, bagi Veerinderjet Singh, Malaysia sudah mempunyai kadar cukai pendapatan yang lebih tinggi terhadap mereka yang berpendapatan RM2 juta dan ke atas.

“Jika kita mula mengenakan kadar cukai yang jauh lebih tinggi, contohnya dengan kadar 40% atau kadar lain, kepada mereka yang berpendapatan lebih tinggi, apa yang kita hendak beritahu sebenarnya, sedangkan negara lain di sekeliling kita tidak mengenakan kadar yang sama?” kata Veerinderjet yang merupakan bekas presiden Institut Akauntan Malaysia.

“Negara maju mengenakan kadar cukai yang tinggi ke atas individu kerana setiap orang perlu membayar lebih untuk menikmati manfaat di negara maju. Namun Malaysia masih belum mencapai tahap negara maju.”

Veerinderjet berkata kadar cukai pendapatan yang tinggi juga akan menyebabkan pelabur kaya mengelak untuk jalankan perniagaan dalam negara.

“Mungkin benar jika kita kenakan kadar cukai yang tinggi kepada individu kaya, kita boleh kutip jumlah hasil yang besar,” katanya.

“Namun, kita harus ingat bahawa kita perlu laksanakannya setiap tahun. Adakah cara itu akan berkekalan?”

Menurut Veerinderjeet, secara logiknya, jika keadaan begitu orang akan mula mengalihkan pelaburan mereka atau dana mereka ke tempat lain di mana kadar cukainya lebih rendah.

“Siapa yang akan rugi jika keadaan begitu berlaku?”

Beliau menambah kedua-dua cukai langsung dan tidak langsung diperlukan dalam negara, beliau berkata Malaysia perlu beralih untuk mula bergantung dengan cukai tidak langsung kerana ia memberikan sumber hasil yang lebih stabil.

Rasuah dan ketirisan

Sementara itu, ahli ekonomi Ahmed Razman Abd Latiff dari Putra Business School berkata, kebanyakan harta orang kaya berupa pegangan saham iaitu aset yang tidak direalisasikan lagi dan disebabkan itu sukar untuk dikenakan cukai oleh kerana nilai pasaran saham tersebut sentiasa berubah.

Katanya, isu yang lebih penting ialah persoalan mengapa cukai baru harus diperkenalkan, sama ada GST atau cukai ke atas orang kaya.

“Adakah kerana perbelanjaan semakin meningkat disebabkan pemberian subsidi?

“Kalau itu jawapannya maka mungkin subsidi bersasar harus dilakukan supaya hanya golongan yang layak sahaja mendapatnya dan kerajaan tak perlu belanja besar,” katanya.

Menurut Razman, isu lain yang lebih penting adalah termasuk ketirisan dan rasuah yang belum diperangi habis-habiskan.

Katanya, pengenalan cukai baru tidak akan berkesan sekiranya negara masih berdepan isu ketirisan.

Menurutnya, data dari Transparency International menganggarkan antara 4% hingga 6% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara hilang akibat rasuah, bersamaan RM50 hingga RM60 bilion.

Angka itu dapat dijimatkan kerajaan sekiranya rasuah berjaya dibanteras.

Bukan penyelesaian

GST diperkenalkan pada 2015 menerusi Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Geoffrey Williams dari Malaysia University of Science and Technology berkata, idea PSM untuk mendapatkan pendapatan dengan mencukai individu terkaya dalam negara hanya akan menghasilkan setengah daripada jumlah itu

“Bakinya mesti datang sama ada dari GST yang direndahkan kadar, atau dengan mengekalkan SST atau bentuk cukai lain. Jadi ini bukanlah solusinya,” katanya sambil menambah langkah menggantikan GST dengan SST telah mengurangkan pendapatan kerajaan sebanyak RM20 bilion setiap tahun akibat kadarnya yang lebih rendah.

Katanya, walaupun cadangan PSM itu menarik, namun berkata idea untuk mendapatkan hasil dengan mengelak daripada melaksanakan GST tidak akan berjaya.

Menurutnya, cukai diperoleh sama ada dengan cara mencukaikan pendapatan rakyat atau ketika mereka berbelanja.

“Di negara-negara di seluruh dunia seperti Malaysia, mudah untuk mengelakkan cukai pendapatan dengan mengisytiharkan pendapatan rendah.

“Orang ramai tidak cenderung untuk mengurangkan kadar penggunaan mereka untuk mengelakkan GST. Jadi lebih baik cukai kemudian apabila mereka berbelanja,” katanya kepada MalaysiaNow.

Geoffrey berkata, lebih mudah mencukaikan orang kaya ketika mereka berbelanja berbanding mencukaikan pendapatan mereka.

Namun, katanya lagi, walaupun pelaksanaan GST adalah idea yang masuk akal namun tidak wajar dilaksanakan sekarang.

“Sebaik tekanan inflasi menurun, GST sewajarnya menjadi sebahagian daripada reformasi percukaian yang lebih meluas. Kami tidak menjangkakan perubahan besar dalam percukaian sehingga PRU15.

“Pembaharuan cukai juga harus melibatkan pengurangan cukai lain dan menjadikan sistem cukai lebih berkesan. Setiap orang harus diberi nombor cukai untuk membolehkan sistem cukai negatif untuk kredit cukai kepada orang di bawah ambang pendapatan yang lebih rendah.

“Ini akan meningkatkan kebajikan sosial dan boleh dibayar sebahagiannya dengan pendapatan GST yang lebih tinggi,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.