- Iklan -
Berita

Malaysia setuju mansuhkan hukuman mati mandatori

Keputusan itu dibuat selepas pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat Kabinet minggu ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, menggantikannya dengan hukuman lain tertakluk budi bicara mahkamah.

Dalam sebuah kenyataan, Wan Junaidi berkata keputusan itu dicapai selepas pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori ketika mesyuarat Kabinet Rabu lalu.

“Kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor jawatankuasa yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.

“Jemaah menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah,” katanya.

Menurut Wan Junaidi, kajian lanjut mengenai cadangan hukuman gantian tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa badan termasuk Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri dan kementerian atau jabatan lain yang berkepentingan.

Selain itu, beliau menambah kerajaan juga akan mengkaji kebolehlaksanaan berkaitan hala tuju sistem keadilan jenayah dalam negara, antaranya seperti pewujudan prosedur pra penghukuman, penubuhan majlis penghukuman, pembangunan garis panduan penghukuman, penubuhan suruhanjaya pembaharuan undang-undang, pembaharuan institusi kepenjaraan dan pelaksanaan hukuman berdasarkan “restorative justice”.

“Keputusan berkaitan perkara ini menunjukkan keutamaan kerajaan untuk memastikan hak semua pihak adalah terpelihara dan terjamin sekali gus mencerminkan ketelusan barisan kepimpinan negara ini dalam menambahbaik sistem keadilan jenayah negara yang serba dinamik.”