- Iklan -
Berita

Masa depan makin cerah buat Suki, anak tanpa kerakyatan

Perkembangan pelajaran Suki meningkat di tadika, sementara bapanya akan memulakan sesi fisioterapi tidak lama lagi sebagai rawatan penyakit strok yang dihidapinya.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Suki Wong Pei Yee duduk mendengar bimbingan pelajaran daripada pengetua tadika Edinson Tang.
Suki Wong Pei Yee duduk mendengar bimbingan pelajaran daripada pengetua tadika Edinson Tang.

Masa depan Suki Wong Pei Yee, kanak-kanak berusia 10 tahun yang tiada kerakyatan dan pendidikan, kini semakin cerah apabila dia dibiayai untuk belajar di sebuah tadika terletak berhampiran dengan rumahnya.

Pembiayaan itu adalah daripada seorang wanita prihatin yang hanya mahu dikenali sebagai Lim selepas dia melawat Suki bersama bapanya, Wong Kon Foo di rumah mereka pada 30 Mei lalu susulan berita mengenai dua beranak itu mula tular.

Menurut Lim, dia berjaya mengenal pasti rumah Suki selepas dimaklumkan oleh seorang rakan yang menetap di Damansara, dan melawat bersama suaminya untuk melihat terdahulu keadaan dua beranak tersebut.

“Selepas mengetahui Suki tidak ada pendidikan, saya ‘Google’ tadika paling dekat dengan rumahnya dan terus menghubungi pengetua tadika itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Rupa-rupanya, pengetua tadika itu juga sedang cuba mencari Suki, justeru dia setuju untuk mengambil Suki sebagai pelajar tadika manakala saya uruskan yuran.”

Suki mendengar gurunya menerangkan sesuatu di tadika.

Lim yang merupakan seorang bekas guru berkata, bayaran yuran itu termasuk sesi belajar dan penyediaan makan sarapan dan tengah hari, malah pengetua tadika itu sendiri akan menjemput Suki ke tadika dari rumahnya.

Bagaimanapun, Lim menyasarkan untuk Suki belajar di tadika itu hanya selama enam bulan sehingga dia sekurang-kurangnya berada pada tahap darjah satu, sebelum dia akan didaftarkan ke sekolah antarabangsa.

Menurut Lim, tujuan memilih sekolah antarabangsa berbanding sekolah kerajaan adalah disebabkan prosedur berbeza kemasukan pelajar ke kelas.

“Di sekolah antarabangsa, Suki boleh dimasukkan ke kelas darjah satu walaupun melebihi usia tujuh tahun.

“Jika di sekolah kerajaan, Suki seharusnya masuk ke kelas darjah empat memandangkan sekarang usianya ialah 10 tahun.”

“Saya bimbang Suki tidak dapat kejar mata pelajaran seperti pelajar-pelajar lain, dan ini akan menyebabkan dia ketinggalan, sekali gus boleh menjejaskan keyakinannya untuk terus belajar di sekolah,” katanya.

Suki bermain permainan kad bersama rakan-rakannya di tadika.

Sementara itu, pengetua tadika, Edinson Tang sifatkan Suki sebagai seorang pelajar yang cerdik dan “cepat faham” berdasarkan pemerhatiannya mengajar kanak-kanak dalam tempoh seminggu.

Bercakap dengan MalaysiaNow, dia berkata, Suki pada fasa ini diajar untuk menjawab soalan-soalan asas dalam bahasa Inggeris memandangkan dia sudah pandai menjawab dalam bahasa Melayu dan Mandarin.

Selain itu, tumpuan tadika itu juga adalah memastikan Suki mahir tulis dan membaca.

“Kami sediakan jadual belajar khas untuk Suki supaya dia boleh belajar mengikut tahap kanak-kanak berusia lima dan enam tahun serta bersosial dengan kanak-kanak berusia 10 tahun.

“Ini bagi memastikan dia dapat kejar semua pelajaran yang tertinggal dan melatih dia bersosial dengan rakan sebaya,” kata Tang.

Melihat kepada perkembangan Suki dalam tempoh seminggu, Tang juga yakin Suki mampu berada pada tahap tahun satu dalam tempoh enam bulan.

“Dia seorang yang cepat belajar.

“Saya rasa tak susah untuk latih Suki ke tahap yang disasarkan dalam tempoh enam bulan,” tambahnya.

Setelah beberapa tahun berseorangan di rumah, Suki mendapat kawan baru di tadikanya.

Selain daripada pendidikan Suki, Lim selesai menguruskan jadual sesi fisioterapi Wong bersama Hospital Selayang di Selangor supaya proses pemulihannya daripada diserang strok tujuh tahun lalu dapat dilakukan dengan cepat.

“Rawatan fisio Wong akan bermula minggu depan.

“Apabila dia sudah pulih, saya janjikan Wong pekerjaan sebagai pemandu peribadi saya,” kata Lim sambil menambah Wong setuju dengan cadangan itu.

Malah, tinjauan MalaysiaNow ke rumah Suki baru-baru ini mendapati bahawa Lim juga membantu mengemas dan mencantikkan rumah Suki apabila dia menggantikan beberapa perabot baru serta mengecat dinding rumah tersebut.

“Setiap bulan, saya upah pembantu rumah sambilan untuk datang kemas rumah Suki dan Wong supaya mereka lebih selesa.

“Perabot-perabot yang lama dan rosak saya gantikan.

“Kebetulan saya ada banyak perabot yang tidak lagi diguna dan masih cantik, oleh itu, lebih baik saya hadiahkan kepada keluarga ini,” katanya.

MalaysiaNow turut difahamkan Lim juga sedang membantu untuk mendapatkan kerakyatan Suki.

Tambahnya, sekiranya Suki berjaya menerima kerakyatan, dia juga bersedia untuk membiayai insuran perubatan dan pendidikan kanak-kanak itu.

“Duit semua saya sudah sediakan, hanya tunggu dia dapat kerakyatan sahaja,” tambah Lim.