- Iklan -
Berita

Kekurangan pekerja asing, syarikat tidak dapat penuhi pesanan pelanggan

Walaupun sekatan Covid-19 sudah dilonggarkan, namun Malaysia masih tidak menunjukkan peningkatan ketara dalam pengambilan pekerja asing.

Reuters
3 minit bacaan
Kongsi
Malaysia kini kekurangan pekerja asing di mana ia menjejaskan operasi pelbagai sektor dalam negara. Gambar: Bernama
Malaysia kini kekurangan pekerja asing di mana ia menjejaskan operasi pelbagai sektor dalam negara. Gambar: Bernama

Syarikat Malaysia sama ada daripada industri perladangan kelapa sawit sehingga pengeluar semikonduktor terpaksa menolak pesanan pelanggan selain terlepas peluang jualan berbilion dolar, ekoran kekurangan lebih sejuta pekerja yang dilihat boleh mengancam usaha pemulihan ekonomi negara.

Walaupun sekatan dan larangan Covid-19 yang dilaksanakan dalam negara telah dilonggarkan, namun Malaysia masih tidak menunjukkan peningkatan ketara dalam pengambilan pekerja asing berikutan rundingan yang terus berlarutan antara kerajaan dengan Indonesia dan Bangladesh berhubung perlindungan pekerja, kata kumpulan industri, syarikat dan diplomat.

Malaysia yang menjadi sumber utama dalam rantaian bekalan global, bergantung dengan jutaan warga asing dalam operasi kilang, perladangan dan sektor perkhidmatan kotor, berbahaya dan sukar di mana sektor itu dijauhi penduduk tempatan.

Pengilang, yang membentuk hampir satu perempat daripada ekonomi, bimbang pelanggan mereka beralih ke negara lain selepas pertumbuhan ekonomi mulai meningkat.

“Walaupun optimis dari sudut unjuran dan peningkatan dalam jualan, beberapa syarikat berdepan kesukaran bagi memenuhi pesanan pelanggan,” kata Soh Thian Lai yang merupakan presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia, mewakili lebih 3,500 syarikat.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Carl Bek-Nielsen,  pengusaha ladang minyak sawit berada di tahap yang sangat buruk.

“Situasinya sangat teruk, sama macam main bola sepak tujuh lawan 11 orang pemain,” katanya.

Data menunjukkan Malaysia kekurangan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja dalam sektor perkilangan, perladangan dan pembinaan.

Kekurangan itu semakin teruk setiap hari kerana permintaan terus meningkat ketika penularan wabak Covid-19 mulai berkurangan.

Syarikat pengilang juga berkata mereka kekurangan 600,000 pekerja, sementara pembinaan memerlukan 550,000 pekerja.

Dalam pada itu, industri minyak sawit melaporkan kekurangan 120,000 pekerja, syarikat pembuat cip kekurangan 15,000 pekerja dan tidak dapat memenuhi permintaan ketika bekalan cip global berkurangan, sementara syarikat pembuat sarung tangan perubatan berkata mereka memerlukan sekurang-kurangnya 12,000 pekerja.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) turun kepada 50.1 pada Mei berbanding 51.6 pada April, dilihat tidak begitu berkembang, selepas sektor itu kehilangan paling banyak pekerja sejak Ogos 2020, menurut data S&P Global.

Menurut Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia Wong Siew Hai, syarikat pembuatan cip menyaksikan pelanggannya mulai berkurang sementara penduduk tempatan tidak berminat untuk bekerja dalam industri  tersebut.

Katanya, ramai yang menyertai industri itu meninggalkannya selepas kurang dari setengah tahun.

Sementara itu, industri minyak sawit, yang menyumbang 5% kepada ekonomi Malaysia, memberi amaran tiga juta tan tanaman mungkin terpaksa dibuang tahun ini selepas hasil yang tidak dipetik rosak, sekali gus mungkin menyebabkan kerugian lebih AS$4 bilion.

Industri sarung tangan getah  pula menganggarkan kerugian sebanyak AS$700 juta tahun ini jika kekurangan tenaga buruh berterusan.

Hak pekerja

Kementerian Sumber Manusia, yang bertanggungjawab meluluskan pengambilan pekerja asing bagaimanapun tidak memberikan maklum balas kepada Reuters bagi mengulas masalah buruh dalam negara dan kesannya ke atas ekonomi.

Pada April, menterinya, M Saravanan berkata syarikat di Malaysia memohon untuk mengambil 475,000 pekerja asing.

Bagaimanapun kementerian hanya meluluskan 2,065 orang, selain menolak permohonan yang tidak memberikan maklumat lengkap atau tidak mematuhi peraturan dan syarat.

Diplomat dari Indonesia dan Bangladesh yang merupakan dua negara sumber tenaga buruh Malaysia, memberitahu Reuters bahawa hak pekerja adalah sebahagian daripada sebab mengapa penyaluran sumber tenaga kerja dihentikan.

Bangladesh menandatangani perjanjian pada Disember lalu untuk menghantar pekerjanya, namun ia ditangguhkan selepas Dhaka membantah proses pengambilan pekerja yang dicadangkan oleh Malaysia, memetik kebimbangan rancangan itu boleh menyebabkan peningkatan kos untuk pekerja selain menyebabkan mereka terpaksa menanggung hutang, kata sumber diplomatik Bangladesh.

“Fokus utama kami ialah kebajikan dan hak pekerja,” kata Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerja Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmed.

“Kami mahu memastikan mereka mendapat gaji standard, diberikan penginapan yang sesuai, dan sekali gus dapat meminimumkan perbelanjaan kos untuk datang ke sini selain menerima  jaminan keselamatan sosial yang lain.”

Beliau juga memberitahu Reuters bahawa Dhaka tidak “mahu pekerjanya terperangkap dalam kitaran hutang”, sambil menambah Malaysia mahu mengambil 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh setahun.

Sejak dua tahun lalu, AS mengenakan larangan import terhadap tujuh syarikat Malaysia atas dakwaan mengamalkan buruh paksa.

Saravanan, yang berada di Dhaka awal bulan ini, berkata Malaysia telah memberi jaminan kepada kerajaan Bangladesh bahawa ia akan memastikan gaji yang lebih baik selain menjamin kebajikan pekerja.

Beliau juga turut menafikan dakwaan proses pengambilan pekerja luar negara oleh Malaysia berdepan masalah.

Minggu lalu, Saravanan berkata kerajaan sedang memuktamadkan beberapa perkara teknikal, prosedur pengambilan dan perjanjian dengan beberapa negara sumber tenaga kerja.

Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono juga turut menyuarakan kebimbangan berhubung perlindungan pekerja dalam perbincangan dua hala antara kedua-dua buah negara baru-baru ini.