Ketika pengguna di seluruh negara merungut mengenai kenaikan harga barang, petani yang menjadi pihak utama dalam rantaian bekalan turut merasai bahangnya, ekoran situasi mereka yang kini bergelut dalam mengeluarkan hasil bagi memenuhi permintaan pasaran selain pada masa sama perlu meneruskan kelangsungan hidup.
Di Sarawak, kenaikan harga baja menjadi masalah utama petani ketika ini – ia adalah bahan utama bagi memastikan tanaman yang diusahakan membuahkan hasil.
Selain itu, mereka juga turut mengalami masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu, di mana sekatan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara mengganggu jadual penuaian selain turut menyebabkan hasil tanaman terpaksa dibuang.
Negara yang kini mulai pulih di bawah peralihan ke fasa endemik Covid-19 turut menyaksikan petani turut bersedia untuk musim baru untuk menuai hasil tanaman.
Namun, kebimbangan mengenai kos pengeluaran yang tinggi mengatasi hasil jualan sekali gus menyebabkan kerugian mulai timbul.
“Harga barang dan baja meningkat secara mendadak,” kata Tiong yang merupakan seorang petani sayur-sayuran dari Kampung Keranji, Bau di Sarawak kepada MalaysiaNow.
“Dulu RM105 untuk 50kg. Sekarang RM225.”
Menurutnya, tidak banyak yang dapat dilakukan bagi menangani perkara tersebut kerana pemborong sendiri menghadapi kekangan kewangan sama.
Oleh kerana semakin ramai petani tidak mampu menanggung kos pengeluaran, ia menyebabkan pemborong tidak mempunyai banyak pilihan selain turut menaikkan harga.
Walaupun petani boleh memilih untuk mengurangkan penggunaan baja, namun ia boleh menjejaskan tahap kualiti tanaman mereka.
Mereka juga turut berdepan cabaran luar kawalan, seperti keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Sekarang cuaca sangat panas sehingga sayur-sayuran terlalu cepat masak,” kata Tiong.
“Kadang-kadang saya terpaksa buang kerana sudah rosak.”
Bagi petani, masalah yang mereka hadapi seolah-olah tiada penyelesaiannya.
Kos penuaian yang mereka tanggung itu, apa sahaja yang berlaku terpaksa dibayar juga.
“Pendapatan petani seperti kami hanya cukup makan sahaja untuk sara keluarga,” kata Tiong.
“Kami perlu berusaha keras untuk bawa pulang rezeki ke rumah.”
Landan Usop dari Kampung Entanggor, Sebuyau turut mengalami masalah yang sama.
Di ladang kecilnya, dia menanam cili, limau, serai, kunyit, daun ubi dan kacang panjang.
Dia turut menanam sayur kampung lain seperti ubi keledek.
Bercakap kepada MalaysiaNow, Landan berkata dia terpaksa mengurangkan separuh penggunaan bajanya.
“Dulu harga baja RM17,” katanya.
”Sekarang, harganya RM22.
“Kos sentiasa meningkat. Saya rasa terbeban jika saya perlu beli lebih banyak baja.”
Landan menambah, walaupun akhirnya dia dapat menuai hasil tanaman, namun tiada jaminan dia akan dapat menjual semua hasil tuaiannya itu.
Dia berkata dahulu pemborong membeli sayur-sayurannya namun kini mula mengurangkan jumlah belian.
“Mereka pernah membeli daripada saya, tetapi memandangkan kosnya meningkat, sukar (untuk dapatkan pembeli),” katanya.
Bagi Pakcik Mat, seorang pesawah dari Lundu, masalah yang dihadapi petani ketika ini berlaku pada semua komoditi.
“Harga semua komoditi semakin meningkat,” katanya.
“Petani benar-benar bergelut dan keadaan semakin buruk.”
Seperti Tiong dan Landan, Mat juga cuba menjarakkan tempoh penggunaan baja yang dibelinya setakat mana yang boleh.
Bagaimanapun, percubaannya itu menjejaskan peluangnya untuk dapatkan hasil tuaian yang baik.
“Jika saya tidak gunakan baja, ia akan menjejaskan kualiti tanaman saya,” katanya.
“Sepanjang tahun lalu sahaja, kos baja dan racun perosak meningkat sebanyak 30 hingga 40%.”
Di Sarawak, kira-kira 70% petani tinggal di kawasan luar bandar dan bergantung kepada hasil tani mereka.
Pada 2021, sektor pertanian menyumbang RM16.5 bilion atau 12.1% kepada ekonomi Sarawak.