- Iklan -
Berita

Bersatu tunggu pertemuan dengan PM berhubung pengganti Zuraida

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata permintaan untuk bertemu Ismail sudah dibuat dan pihaknya sedang menunggu makluman tarikh bagi pertemuan tersebut.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

Status jawatan dan pengganti menteri perusahaan, perladangan dan komoditi yang sebelum ini disandang oleh bekas ahli Bersatu, Zuraida Kamaruddin akan diumumkan selepas pertemuan bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata, permintaan untuk bertemu Ismail sudah dibuat dan pihaknya sedang menunggu makluman tarikh bagi pertemuan tersebut. 

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan kerusi bagi menggantikan ahli Parlimen Ampang itu di Kabinet sememangnya menjadi kuota untuk Bersatu. 

“Tapi terpulanglah PM nak lantik siapa,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini. 

Mengulas lanjut, katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama dengan Ismail dalam pertemuan tersebut termasuk nama-nama calon yang disenaraikan. 

Ketika ditanya, adakah nama-nama calon pengganti Zuraida akan memperkenalkan wajah-wajah baru daripada Bersatu, beliau enggan mengulas lanjut. 

“Tunggulah, kita umum nanti, tengoklah muka siapa,” katanya berseloroh. 

Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keputusannya keluar Bersatu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia sekali gus meletakkan jawatan kementeriannya.

Beliau berkhidmat dalam tiga Kabinet sejak 2018 di bawah Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob di dua portfolio kementerian iaitu perumahan dan kerajaan tempatan dan perusahaan, perladangan dan komoditi.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menepis desas-desus yang mengatakan dua Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Mohamed Azmin Ali dan Mohd Rashid Hasnon bakal mengikut jejak langkah Zuraida meninggalkan parti tersebut. 

Muhyiddin berkata hubungannya dengan Azmin dan Rashid sangat rapat dan mesra dan mereka sering berbincang mengenai masa depan Bersatu.

Menurutnya, persoalan tentang meninggalkan perjuangan Bersatu tidak pernah timbul. 

“Saya baru sambut raya dengan Rashid Hasnon, tak ada bincang apa-apa. Cakap pasal ketupat sahaja,” katanya sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas. 

“Kenapalah sasarkan Bersatu, kita ni parti kecil sahaja,” katanya.