Malaysia berada di kedudukan ke-32 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022, turun tujuh tangga dari kedudukan ke-25 yang direkodkan pada 2021.
Menurut Pusat Daya Saing Dunia (WCC) IMD, Thailand (di tangga ke-33 kali ini berbanding ke-28 pada 2021) dan Indonesia (di ranking ke-44 berbanding di kedudukan ke-37 sebelum ini) turut mengalami penurunan prestasi berikutan pembukaan semula ekonomi yang perlahan pasca pandemik Covid-19 berbanding dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).
Rantau Asia juga menyaksikan ranking China turun satu tangga kepada 17 daripada 16, menongkah aliran meningkat kukuh yang dicatatkan negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menunjukkan pemulihan ekonomi yang buruk dijejaskan lagi oleh strategi sifar Covid-19.
“Melangkah ke hadapan, China perlu menstrukturkan semula ekonomi daripada pembuatan kepada perkhidmatan bernilai tinggi dan daripada pelaburan kepada penggunaan.
“Ia juga perlu membangunkan pasaran nasional disatukan untuk meningkatkan kemakmuran ekonomi jangka panjang, dan ia hanya akan mencapai matlamat pembangunan sosio-ekonominya menerusi gabungan dasar makroekonomi,” jelas WCC.
Bagaimanapun, China masih mendahului ekonomi Asia-Pasifik (APAC) bersama Singapura (ketiga), Hong Kong (kelima) dan Taiwan (ketujuh).
Singapura mencapai ranking ketiga, naik dari kedudukan kelima, sekali gus berada di tangga teratas di rantau APAC.
Pemulihannya dipacu oleh peningkatan ketara ekonomi domestik (di tangga pertama berbanding ke-15 sebelum ini), pekerjaan (ketiga berbanding dengan ke-18), kewangan awam (keenam berbanding tangga ke-12) serta produktiviti dan kecekapan (ranking kesembilan berbanding ke-14 pada 2021).
Namun, ia kekal pada kedudukan yang agak rendah dalam beberapa subfaktor, termasuk amalan pengurusan (ke-14), infrastruktur saintifik (ke-16) serta kesihatan dan alam sekitar (ke-25).
Menurut WCC IMD, India mencatakan peningkatan ketara dalam kalangan ekonomi Asia, berada di kedudukan ke-37 berbanding ke-43 sebelum ini.
Kedudukannya melonjak enam tangga selepas empat tahun mengalami prestasi tidak berubah. Ini didorong terutama oleh lonjakan yang dicatatkan India dari segi prestasi ekonomi dan kecekapan perniagaan.
Ketua Ahli Ekonomi WCC IMD, Christos Cabolis berkata selain tekanan inflasi menjejaskan kebanyakan ekonomi, cabaran global lain yang turut sama memburukkan daya saing negara ialah varian Covid-19.
Ini termasuk jumlah orang yang dijangkiti di seluruh dunia, perbezaan dasar nasional untuk menangani Covid (dasar “sifar-toleransi Covid” berbanding dengan dasar “terus bergerak daripada Covid”) selain pencerobohan ke atas Ukraine oleh Rusia.
Sementara itu, Denmark, sebagai negara paling maju dari segi digital di dunia, mencapai kedudukan teratas buat kali pertama dalam sejarah 34 tahun ranking ini.
“Ini disokong oleh dasar yang baik, kelebihan yang diperoleh dengan menjadi sebuah negara Eropah, tumpuan jelas terhadap kemampanan dan dorongan daripada sektor korporatnya yang cekap,” kata Pengarah WCC IMD Arturo Bris.
Switzerland kehilangan tempat teratas globalnya apabila turun ke tangga kedua, walaupun kekal kukuh dalam ranking keseluruhan.
WCR 2022 menilai 63 ekonomi, melalui data yang bersifat kuantitatif dan boleh dianalisis secara formal, di mana 333 kriteria daya saing dipilih sebagai hasil penyelidikan komprehensif menggunakan kajian ekonomi; sumber antarabangsa, nasional dan serantau serta maklum balas daripada komuniti perniagaan, agensi kerajaan dan ahli akademik, selain respons tinjauan (100 eksekutif setiap ekonomi secara purata) daripada eksekutif kanan, dikutip daripada 56 institut rakan kongsi tempatan.