Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata pada hari Rabu beliau “berterima kasih” atas pakej bantuan senjata baru yang diumumkan Amerika Syarikat (AS) kepada Kyiv selepas bercakap dengan Presiden AS Joe Biden.
“AS umumkan satu lagi (bantuan persenjataan) baru bagi mengukuhkan pertahanan kami, pakej sokongan baru bernilai AS$1 bilion,” kata Zelensky.
“Saya berterima kasih atas sokongan ini, ia amat penting untuk pertahanan kami di (wilayah timur) Donbas.”
Semalam Biden mengumumkan pakej senjata ke Ukraine bernilai AS$1 bilion, termasuk penghantaran lebih banyak artileri, sistem pertahanan anti-kapal pantai, peluru dan sistem roket sudah pun digunakan Ukraine.
“Saya juga berterima kasih kepada kepimpinan (AS) dalam menggerakkan bantuan,” kata pemimpin Ukraine itu.
Zelensky berkata beliau juga berbincang dengan presiden AS mengenai “situasi taktikal di medan perang dan bagaimana untuk mempercepatkan kemenangan kita”.
Sebelum ini, Kyiv merayu lebih banyak bantuan senjata dari Barat untuk membantunya menentang pencerobohan Rusia, di mana tenteranya kekurangan kelengkapan senjata.
“Setiap hari saya berjuang untuk Ukraine untuk dapatkan lebih banyak senjata dan peralatan yang diperlukan,” kata Zelensky.
“Tetapi keberanian, kebijaksanaan dan kemahiran taktikal tidak boleh diimport. Pejuang-pejuang kita memilikinya.”
Zelensky berkata beliau juga mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri UK Boris Johnson.
Pemimpin UK itu berkata di Twitter bahawa London menyokong Kyiv “sehingga berakhir dengan kemenangan”.
“Sidang kemuncak @G7 dan @NATO akhir bulan ini akan menjadi peluang untuk menunjukkan perpaduan Barat dan berazam untuk menyokong Ukraine dalam jangka panjang,” kata Johnson.