- Iklan -
Berita

Malaysia gesa keterbukaan perdagangan, sekatan semasa krisis makanan bersifat sementara

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata sebarang langkah kecemasan harus bersasar dan berkadar.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali ketika berucap dalam persidangan menteri ke-12 di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Geneva semalam. Gambar: Facebook
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali ketika berucap dalam persidangan menteri ke-12 di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Geneva semalam. Gambar: Facebook

Malaysia menggesa supaya keterbukaan dalam perdagangan diperluaskan, mengatakan sebarang sekatan perdagangan dalam menangani kebimbangan keselamatan makanan dalam negara harus bersifat sementara dan berkadar.

Bercakap pada persidangan menteri ke-12 Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Geneva, Switzerland semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata negara anggota badan itu harus menunjukkan “perkembangan kukuh” ke arah sistem perdagangan pertanian yang adil dan berorientasikan pasaran.

Beliau menambah sebarang langkah kecemasan dalam usaha menangani kebimbangan keselamatan makanan di setiap negara harus bersifat “sementara, bersasar, berkadar dan bukan dengan mengubah bentuk perdagangan”.

“Menggunakan dasar perlindungan ketika kebimbangan keselamatan makanan dalam negara sebagai samaran mesti dielakkan dalam apa juga bentuk,” katanya.

Beliau turut menegaskan Malaysia akan terus menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berdasarkan peraturan, mengatakan kerjasama sedemikian adalah kunci dalam mengatasi cabaran global dan peningkatan dalam melaksanakan dasar perlindungan di sesebuah negara.

“Dengan wabak Covid-19 yang masih menular di seluruh dunia, persekitaran perdagangan global yang bersifat melindungi (bekalan dalam negara) boleh memudaratkan kemakmuran ekonomi dunia, terutama negara membangun, lebih-lebih lagi negara yang kurang maju,” katanya.

Azmin turut menyuarakan sokongan terhadap deklarasi menteri mengenai tindak balas WTO terhadap pandemik Covid-19 dan kesiapsiagaan menghadapi pandemik pada masa depan, mengatakan negara anggota harus bemuafakat dalam memansuhkan sekatan dan had dalam pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Hak Harta Intelek Berkaitan Perdagangan (TRIPs).

Beliau berkata langkah dalam memudahkan perdagangan turut diperlukan bagi memastikan pengagihan vaksin dan terapeutik yang lebih saksama dan pantas.