- Iklan -
Berita

Azmin, bekas pemimpin PKR tidak minat sertai semula parti ‘dewakan manusia rakus’

Setiausaha PN Selangor Hilman Idham menolak dakwaan kononnnya Azmin bertemu dengan pemimpin PKR di Hotel Sheraton pada 15 Jun lalu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamaed Azmin Ali. Gambar: Bernama
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Mohamaed Azmin Ali. Gambar: Bernama

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor Hilman Idham hari ini menegaskan Mohamed Azmin Ali dan beberapa pimpinan PKR yang dipecat daripada parti itu tidak akan kembali menyertai parti itu, menepis spekulasi kononnya menteri kanan itu mengadakan pertemuan dengan pimpinan bekas partinya.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, Hilman turut menafikan pertemuan dan menyifatkan ia sebagai spekulasi media yang dipengaruhi PKR.

“Saya percaya, spekulasi ini direka sebagai strategi jahat untuk menimbulkan keraguan dan kesangsian di kalangan anggota Bersatu dan PN terhadap komitmen beliau,” kata Hilman.

Sebelum ini, Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan Azmin yang juga ketua penerangan PN bertemu dengan dua wakil PKR di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 15 Jun lalu.

Menurut laporan itu juga, Presiden PKR Anwar Ibrahim turut mengetahui mengenai pertemuan tersebut.

Dalam pada itu, Hilman berkata Azmin yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan pimpinan PKR yang dipecat sebelum ini tidak berminat untuk bersama parti yang “mendewakan manusia rakus tanpa hala tuju,” dipercayai merujuk kepimpinan Anwar dalam PKR.

“Kami akan terus mempertahankan panji Bersatu dan PN demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.

Sebelum ini, Azmin menegaskan beliau terus komited dan akan terus memperkukuhkan Bersatu yang dipimpin Muhyiddin.

Beliau menolak spekulasi dan perbandingan dengan seorang lagi bekas pemimpin PKR Zuraida Kamaruddin yang kini menyertai Parti Bangsa Malaysia selepas mengumumkan keluar dari Bersatu.

“Bersatu telah lakukan anjakan paradigma dalam perlembagaan parti yang membuatkan parti ini terbuka kepada semua kaum, jadi saya perlu pertahan dan perkukuhkan parti bersama kepimpinan Muhyiddin Yassin, saya juga akan beri tenaga serta sumbangan untuk kukuhkan Bersatu.

“Saya juga yakin dengan dasar-dasar yang dibawa Bersatu sehingga boleh membantu negara keluar daripada kemelut dan krisis kesihatan, ekonomi serta politik akan membuatkan parti ini diterima rakyat pada pilihan raya nanti.”