- Iklan -
Berita

Isu pendatang tanpa dokumen tidak akan selesai ketika negara kurang tenaga kerja

Memandangkan Malaysia bergantung kepada buruh asing, menghantar pulang pendatang tanpa dokumen yang ada dalam negara hanya membuatkan lebih ramai pekerja dibawa masuk, kata Lawyers for Liberty.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja asing bekerja di sebuah tapak bina di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Pekerja asing bekerja di sebuah tapak bina di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam kenyataan seorang menteri berhubung cadangan supaya pendatang tanpa dokumen diserap sebagai tenaga kerja dalam negara, memberi amaran mengenai kitaran yang sama akan terus berlaku jika mereka dihantar pulang ke negara asal memandangkan Malaysia masih bergantung kepada buruh asing.

Dalam satu kenyataan, Pengarah LFL Zaid Malek berkata, hakikatnya sebahagian besar sektor ekonomi negara masih bergantung dengan pekerja asing.

“Menghantar mereka pulang ke negara asal secara berperingkat akan mewujudkan kekosongan dalam tenaga buruh di mana ia seterusnya akan menyebabkan kita terpaksa membawa masuk lebih ramai pekerja asing bagi memenuhi kekosongan itu, dan seterusnya mewujudkan kitaran kemasukan pekerja asing tanpa dokumen sekali lagi.

“Adalah lebih mudah dan berperikemanusiaan bahkan lebih efektif dari sudut kos jika mereka yang sudah sedia ada di sini dibenarkan untuk bekerja,” katanya.

Zaid memberikan ulasan berhubung kenyataan Menteri Sumber Manusia M Saravanan yang berkata tindakan terbaik bagi mengatasi isu ialah dengan menghantar pulang pendatang tanpa izin ke negara asal mereka.

Saravanan turut menyifatkan idea menghalalkan pendatang tanpa izin sebagai tenaga kerja sebagai “bodoh” dan ia akan menggalakkan lebih ramai pendatang memasuki negara ini secara haram.

Zaid berkata kenyataan tersebut adalah “keterlaluan dan mengecewakan” memandangkan tugasnya sebagai menteri adalah untuk menyelesaikan isu buruh paksa.

“Reaksi menteri ini tidak matang, dangkal dan mengabaikan punca kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini,” katanya.

“Pendatang tanpa dokumen ini sebahagian besarnya adalah mangsa keadaan yang berada di luar kawalan mereka; mereka bukan pesalah yang secara sengaja melanggar undang-undang imigresen kita.

“Setelah ditipu oleh ejen atau majikan yang tidak bertanggungjawab, akibatnya mereka menjadi pendatang ‘haram’.”

Beliau menambah tindakan menghantar pulang mereka adalah “kejam dan tidak adil” kerana ia sama seperti meletakkan kesalahan itu ke atas bahu orang yang dieksploitasi sedangkan ejen dan majikan yang tidak bertanggungjawab melarikan diri.

“Kerajaan mesti menerima hakikat bahawa majoriti pendatang tanpa dokumen dalam negara kita adalah kesan daripada kekurangan dasar buruh dan penguatkuasaan yang lemah atau mengamalkan rasuah, selain perlu mulakan langkah yang komprehensif dan praktikal bagi menangani masalah yang terus berlarutan ini.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.