- Iklan -
Berita

Measat-3d bakal tambah baik perkhidmatan internet Malaysia

Satelit yang bakal dilancarkan pada 23 Jun itu dijangka akan meningkatkan perkhidmatan dan kelajuan internet negara terutama di kawasan luar bandar.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Measat Satellite Systems berkata ia menyokong penuh aspirasi kerajaan untuk mencapai sasaran 100% capaian internet menjelang 2025. Gambar: Measat
Measat Satellite Systems berkata ia menyokong penuh aspirasi kerajaan untuk mencapai sasaran 100% capaian internet menjelang 2025. Gambar: Measat

Satelit Measat-3d yang akan dilancar Khamis ini bakal menambah baik dengan ketara perkhidmatan Internet dan kadar ketersambungan capaian Internet terutamanya di kawasan luar bandar.

Ketua Pegawai Operasi Measat Satellite Systems Sdn Bhd (Measat) Yau Chyong Lim berkata perkara itu membolehkan pihaknya mewujudkan masyarakat inklusif digital dan menyokong aplikasi jalur lebar berkelajuan tinggi antaranya Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), internet kebendaan (IoT) dan teleperubatan.

“Menerusi Measat-3d dan perkhidmatan CONNECTme NOW, kami menyasarkan untuk mengisi kelompangan jalur lebar di lokasi-lokasi yang tidak mempunyai liputan mudah alih 4G, 5G atau fiber di Malaysia bagi menyediakan akses Internet kepada populasi yang terpinggir,” katanya kepada Bernama.

Yau berkata Measat-3d akan dilancarkan dari European Spaceport di Kourou, French Guiana yang terletak di Amerika Selatan dan kerajaan Malaysia akan diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Mohammad Mentek.

Bersempena pelancaran itu, beliau memaklumkan satu majlis istimewa akan dianjurkan di ibu negara bagi membolehkan para jemputan menonton pelancaran itu secara langsung dan ia dijangka dihadiri tetamu kehormat termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Yau berkata pelancaran Measat-3d dijayakan dengan sokongan kementerian, serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Menurutnya pihak Measat menyokong penuh hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran akses Internet 100% menjelang 2025 melalui pelan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan melalui sasaran Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk mendigitalkan negara.

“Dalam jangka masa panjang, ia menjanjikan untuk meningkatkan kualiti hidup semua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang tinggal di kawasan paling terpencil di negara ini,” katanya.

Yau memaklumkan Measat-3d akan memastikan pertumbuhan berterusan dan kesinambungan perkhidmatan untuk penyiar terkemuka dunia serta televisyen satelit Direct-to-Home (DTH) kepada lebih 20 juta isi rumah di seluruh Malaysia, Indonesia dan India.
Katanya pemilik satelit berkenaan ialah Measat, iaitu syarikat tempatan milik penuh warga Malaysia, namun keupayaan perkhidmatan Measat-3d adalah luas, iaitu meliputi kawasan Asia Tenggara, Asia Pasifik, Afrika dan Eropah Selatan.

Yau berkata satelit Measat-3d, iaitu satelit baru dan canggih milik Measat setakat ini dianggarkan membelanjakan kos RM1.2 bilion.

“Measat-3d akan menyertai Measat-3a dan Measat-3b di hotslot 91.5°E yang menyediakan peningkatan dan lebihan kapasiti untuk perkhidmatan DTH Astro, serta perkhidmatan penyiaran, telekomunikasi dan Internet jalur lebar. Satelit Measat-3d mempunyai jangka hayat 18 tahun,” katanya.

Measat-3d menggunakan model satelit “Eurostar E3000 geostationary satellite” yang dibina oleh Airbus Defence and Space. Airbus adalah perintis global dalam industri aeroangkasa dan beroperasi dalam sektor pembuatan pesawat komersial, helikopter, pertahanan dan angkasa lepas).

Yau berkata dengan menggunakan kapasiti ‘High Throughput Satellite’ pada Measat-3d, Measat berupaya meningkatkan daya pemprosesan kapasiti jalur lebar mereka sebanyak 10 kali ganda kepada 30 gigabit per saat (Gbps), sekali gus membolehkan akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi walaupun di kawasan yang terhad atau tiada ketersambungan di darat.

“Internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 megabit per saat (Mbps) ketika ini kepada 100 Mbps, membolehkan pengguna menstrim kandungan tinggi data seperti video 4K atau 8K.

“Measat-3d akan dapat merapatkan jurang digital di kawasan yang tidak diliputi teknologi mobil 4G atau 5G atau gentian di Malaysia,” katanya.

Menurut Yau Measat-3d boleh dimanfaatkan untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga 5% populasi (atau kira-kira dua juta rakyat) yang masih belum mempunyai sambungan gentian atau jalur lebar tanpa wayar.