- Iklan -
Berita

Debaran pasukan sulung Malaysia menjelang pertandingan roket antarabangsa di AS

Pasukan dari Pulau Pinang, Wau Rocketry sudah bersedia untuk berentap dengan mempertaruhkan 'Hebat'.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
'Hebat' yang dibina pasukan Wau Rocketry diperiksa oleh jawatankuasa pertandingan di AS.
'Hebat' yang dibina pasukan Wau Rocketry diperiksa oleh jawatankuasa pertandingan di AS.

Pasukan pertama dari Malaysia yang menyertai pertandingan roket di Amerika Syarikat (AS), Wau Rocketry dari Universiti Sains Malaysia (USM) kini dalam fasa mempersiapkan roket untuk hari pelancaran yang dijangka pada 23 Jun.

Ketua pasukan, A Vanmitha berkata, pasukannya semalam sudah bertemu dengan para juri yang datang memeriksa roket yang dipertandingkan dalam kejohanan tersebut.

“Hari ini dan semalam kami membuat pemasangan roket dan ujian integrasi penuh serta ujian elektronik di tempat tinggal kami.

“Kami sudah daftar dan mendengar taklimat. Ada pemeriksaan roket yang mana juri akan memeriksa bahagian roket satu-persatu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, pihak juri akan hadir secara rawak ke meja-meja pasukan untuk bertanyakan soalan mengenai roket yang dicipta mereka.

Pasukan Wau Rocketry dai Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang mewakili negara di AS dalam pertandingan roket .

12 anggota Wau Rocketry termasuk penasihat pasukan berlepas dari Malaysia pada 16 Jun lalu.

Mereka antara 66 pasukan yang akan berentap dalam kejohanan berprestij itu.

Vanmitha berkata, perasan pasukan bercampur-campur kerana ia merupakan kali pertama pasukan dari Malaysia bertanding dalam kejohanan tersebut.

“Semua anggota pasukan memberikan yang terbaik. Semasa pemeriksaan, kami boleh menjawab semua soalan juri dengan jelas. Ini memberikan saya keyakinan.”

Sebelum ini, MalaysiaNow pernah melaporkan mengenai pasukan itu yang berpengkalan di Pulau Pinang.

Menceritakan perjalanan di AS, katanya selepas tiba di tempat menginap, anggota pasukan bergegas untuk membeli barang-barang yang mereka perlukan untuk roket tersebut.

“Semasa pemeriksaan juri, kami diminta untuk menukar orientasi bateri. Ini sudah pun kami lakukan.

“Kini kami kena berjumpa dengan juri untuk menandatangani reviu keselamatan pelepasan (flight safety review), baru kami akan menerima kad pelepasan (flight card) untuk dilancarkan di pad pelancaran (launch pad),” katanya.

Dua kategori dipertandingkan dalam kejohanan Spaceport America Cup itu, iaitu pelancaran 10,000 kaki dan 30,000 kaki.

Roket ‘Hebat’ yang siap dibina bersedia dilancarkan.

Subkategori untuk kedua-dua kategori itu ialah “commercial off the shelf” (cots) atau “student research and development” (SAD), yang mana Wau Rocketry menyertai cots 10,000 kaki.

Mereka membawa roket yang diberi nama “Hebat”, berketinggian 2.87 meter dan berat 22.67kg.

Roket yang menggunakan solid propellant itu akan membawa sebuah nanosatellite ciptaan USM sendiri yang akan mengambil data-data persekitaran.

Vanimitha berkata, esok (22 haribulan waktu Malaysia) mereka perlu membawa avionik untuk dinilai selain menyertai hari persidangan.

“Bagi fasa pelancaran, ia bergantung berapa pantas kami boleh memasang roket.

“Sekiranya ia disiap dengan cepat dan lulus pemeriksaan keselamatan, maka kami boleh teruskan pelancaran roket,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.