- Iklan -
Berita

Kerajaan umum bantuan tambahan RM100 untuk golongan B40

Bantuan tunai RM100 bagi isi rumah B40 dan RM50 bagi golongan bujang adalah tambahan kepada inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia yang diumumkan sebelum ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan tambahan sebanyak RM100 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bagi setiap isi rumah golongan B40 dan RM50 bagi golongan bujang di bawah inisiatif tersebut.

Pada sidang media yang disiarkan siaran langsung hari ini, Ismail berkata ia adalah bagi meringankan beban kos sara hidup susulan penarikan semula subsidi sementara minyak masak dan beberapa komoditi lain yang berkuat kuasa 1 Julai depan.

Beliau berkata bantuan tunai itu akan melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta di mana ia akan dibayar bersekali dengan fasa kedua BKM dan bakal memberikan manfaat kepada 8.6 juta penerima yang terdiri daripada empat juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 individu bujang.

“Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 (Isnin) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion,” katanya.

Ismail turut memberikan penjelasan berhubung subsidi minyak masak, mengatakan subsidi yang diperkenalkan untuk minyak masak kampit sejak 2007 akan dikekalkan.


Bagaimanapun, subsidi sementara melibatkan minyak masak botol dua hingga 5kg yang diperkenalkan pada tahun lalu bagi meringankan beban orang ramai sepanjang pandemik ditarik balik kerana tidak lagi menepati matlamat yang digariskan sebelum ini.

“Bagaimanapun, kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik.

“Subsidi minyak masak kampit sahaja yang akan diteruskan dan kerajaan yakin subsidi sebanyak 60,000 tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk kegunaan Keluarga Malaysia,” katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata subsidi minyak masak botol akan dihentikan mulai 1 Julai, selain pemansuhan harga siling ayam dan telur.

Bagaimanapun, subsidi minyak masak kampit 1kg yang ditawarkan kepada pengguna pada harga RM2.50 sepeket akan diteruskan.

Beliau juga berkata harga ayam akan diapungkan dan bergantung kepada kuasa pasaran, manakala bantuan kewangan akan disasarkan kepada golongan yang memerlukan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.