- Iklan -
Berita

Isyarat pertama Measat-3d berjaya diterima

Detik bersejarah itu diumumkan pada 6.41 pagi tadi selepas dilancarkan semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan siaran lintas langsung pelancaran Measat-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan siaran lintas langsung pelancaran Measat-3d dari Kourou Space Centre, French Guiana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam. Gambar: Bernama

Tepat 6.41 pagi waktu Malaysia, isyarat telemetri pertama daripada Measat-3d diterima, sekali gus menandakan pelancaran satelit itu berjaya sepenuhnya.

Detik bersejarah itu diumumkan di Dewan Merdeka, Aras 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang menjadi menyiarkan siaran langsung pelancaran satelit Measat-3d dari Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guiana, Amerika Selatan pada 5.50 pagi waktu Malaysia (6.50 petang waktu tempatan 22 Jun).

Proses pemisahan pertama dari roket pelancar Ariane-5 berlaku pada 6.19 pagi waktu Malaysia dan pemisahan kedua pada 6.34 pagi sebelum isyarat pertama diterima oleh bumi tujuh minit kemudian.

Pelancaran satelit Measat-3d mengalami kelewatan 47 minit daripada jadual asal pada 5.03 pagi waktu Malaysia.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama hampir 600 jemputan menyaksikan pelancaran satelit paling canggih itu di Dewan Merdeka. Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa dan timbalannya Zahidi Zainal Abidin serta beberapa menteri kabinet.

Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.