Kerajaan bersama pihak berkepentingan sedang berusaha mengatasi isu kekurangan bahan mentah yang dihadapi industri koko negara, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata penghasilan bahan mentah dalam negara terutama biji koko pada masa ini tidak dapat menampung permintaan yang diperlukan bagi pasaran produk koko dalam negara, apatah lagi untuk memenuhi permintaan pasaran luar negara.
Katanya salah satu langkah penting sedang diusahakan kerajaan untuk mengatasi isu itu adalah meningkatkan aktiviti huluan industri koko, terutamanya meningkatkan penanaman dan perladangan koko di negara ini.
“Pada masa ini hub pemprosesan (biji koko) kita di Johor terpaksa import biji koko dari luar negara untuk eksport produk koko ke luar negara, kita jadi pusat pengisaran pula sekarang, jika boleh kita mahu kisar (grind) biji koko kita sendiri untuk kita eksport produk koko.
“Permintaan ada untuk produk koko itu, tetapi pada masa ini kita tidak cukup bahan mentah, kita pada masa ini juga masih tidak cukup keluasan tanaman (koko), itu kita cuba tingkatkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Industri Koko Malaysia 2022 di Kota Kinabalu malam tadi.
Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Anak Mongin, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Rahimah Majid, dan Ketua Pengarah LKM Ramle Kasin.
Zuraida berkata pada masa ini juga kementeriannya sedang melakukan libat urus dengan kerajaan negeri, antaranya Sabah dan Sarawak, bagi meluaskan tanaman koko dalam negara.
“Kita juga cuba dapatkan tanah untuk tanaman ini dan membentuk koperasi untuk industri ini bagi menjadikan pengurusannya lebih effektif dan produktiviti menjadi lebih tinggi serta berkualiti,” katanya.
Sementara itu Zuraida yang baru-baru ini diumum akan menjadi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) berkata, parti itu sentiasa mengalu-alukan penyertaan ahli Parlimen yang berminat.
“Lebih ramai lebih meriah, saya menghargai ahli Parlimen yang menyertai kami untuk mengukuhkan blok kami ini, pada masa ini juga kita sudah ada struktur akar umbi PBM di Sabah, sudah ada 26 bahagian,” katanya.