- Iklan -
Berita

Penumpang AirAsia mahu tunai, bukan bayaran kredit, baucar

Sebahagian penumpang mempunyai alasan khusus menggesa bayaran balik secara tunai sementara ada yang masih belum menerima sebarang bentuk pembayaran.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail penumpang AirAsia beratur di kaunter tiket klia2 di Sepang.
Gambar fail penumpang AirAsia beratur di kaunter tiket klia2 di Sepang.

Penumpang AirAsia X yang masih menunggu bayaran balik tiket penerbangan yang dibatalkan sejak 2020, menggesa pihak syarikat itu tampil menjelaskan mengapa sukar untuk memulangkan semula bayaran balik dalam bentuk tunai.

Bercakap dengan MalaysiaNow, mereka mengakui bingung dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail pada 15 Jun yang menjelaskan bahawa syarikat itu tidak boleh memberi bayaran balik kepada penumpang disebabkan undang-undang.

Pada sidang media tersebut, Benyamin berkata, disebabkan syarikat itu melalui proses penstrukturan di mahkamah, undang-undang menyatakan mereka tidak boleh berikan bayaran balik tunai kepada sesiapa, termasuk pemiutang.

Oleh itu, katanya, AirAsia X akan memberikan bayaran balik secara kredit menerusi baucar perjalanan di samping bayaran tunai 10%.

Bagaimanapun, penjelasan ini sukar diterima penumpang AirAsia X dan mereka tegaskan agar pihak syarikat penerbangan tersebut segera memulangkan wang tunai.

Penumpang, Chan Shiao Yiing dari Taiping, Perak, berkata sebab utama dia perlukan bayaran balik dalam bentuk tunai ialah kerana ingin pulangkan wang tersebut kepada dua rakannya yang merupakan warga emas.

Terdahulu, Chan menempah enam tiket penerbangan bernilai RM7,710 pada Disember 2019 ke Jepun, dan penerbangannya dijadual berlepas pada April 2020.

Bagaimanapun, disebabkan penularan Covid-19, penerbangannya dibatalkan dan dia menerima bayaran balik dalam bentuk kredit.

“Saya tidak pilih bayaran balik secara kredit.

“Malah, saya pun tidak tahu bagaimana nak memohon bayaran balik,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Dua daripada tiket yang dibeli adalah milik dua rakan saya. Oleh itu, bagaimana saya ingin bayar semula duit mereka jika menerima bayaran balik dalam bentuk kredit?”

Menurut Chan, dia cuba berhubung dengan pegawai perkhidmatan pelanggan AirAsia, bagaimanapun gagal apabila dia diminta menunggu lama.

“Apabila saya cuba menghubungi, mereka akan minta saya tunggu. Ada kalanya saya berada di giliran ke-200,” katanya.

Sementara itu, Upake De Silva dari Sydney, Australia, menyatakan dia tidak menerima sebarang bayaran balik sama ada dalam bentuk tunai atau kredit sejak penerbangannya yang dijadual berlepas pada Disember 2020 dibatalkan.

Menurut Upake, lima tiket penerbangan yang dibeli dianggarkan bernilai hampir 5,000 dolar Australia (RM15,166) itu adalah untuk  membawa keluarganya dari Colombo datang ke Sydney menerusi penerbangan ke Kuala Lumpur.

Katanya, tiket penerbangan yang dibeli itu membabitkan AirAsia dan AirAsia X.

“Saya dimaklumkan bahawa AirAsia X dalam proses penstrukturan hutang, tetapi saya tidak menerima sebarang bayaran balik sehingga hari ini.

“Saya sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), kemudian pada minggu lalu saya terima emel dari AirAsia.

“Emel tersebut memaklumkan bahawa pihak syarikat akan teliti isu bayaran balik, namun sejak itu, tiada perkembangan lanjut,” kata Upake.

Dia yang turut menyifatkan diri sebagai penumpang setia AirAsia turut meluahkan rasa kecewa apabila diberi layanan sebegini, dan menyatakan sudah serik untuk menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan tersebut pada masa hadapan.

“Penerbangan pertama saya bersama AirAsia ialah pada 2007.

“Saya adalah penumpang setia. Mungkin saya akan gunakan perkhidmatan syarikat penerbangan lain pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, MalaysiaNow masih menunggu maklum balas daripada AirAsia apabila diminta mengulas lanjut mengenai penjelasan Benyamin berhubung isu bayaran balik kepada penumpang.

“Terima kasih kerana hubungi kami. Saya akan kongsikan (pertanyaan) ini kepada pasukan.

“Kami akan maklumkan jika ada perkembangan,” kata jurucakap AirAsia.

Dalam pada itu, Kong Kiek Ching, dari Johor turut berharap pihak AirAsia akan pertimbang melanjutkan tempoh penggunaan “unlimited pass” bagi penumpang yang tidak berkesempatan menggunakannya.

Menceritakan isu yang dihadapinya, Kong berkata, dia membeli pas tanpa had itu pada 3 Mac 2020 namun tidak sempat menggunakannya disebabkan masalah sistem selain pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bermula 13 Mac, 2020.

“Terma dan syarat pas ini menyatakan bahawa tiada pembatalan atau bayaran balik dibenarkan.

“Namun disebabkan situasi Covid-19 dan penutupan sempadan antarabangsa, saya dimaklumkan bahawa penggunaan pas ini boleh dilanjutkan.

“Kini sempadan sudah dibuka dan saya merancang untuk ke Melbourne, tetapi tiada penerbangan AirAsia ke situ, malah pas ini juga sudah tamat tempoh pada 16 Jun 2021,” katanya.

Oleh itu, Kong berkata, situasi ini dianggap sebagai tidak adil bagi dirinya memandangkan dia langsung tidak dapat menggunakan pas tersebut meskipun sudah membayar RM499.

“Malah, saya juga hairan apabila menerima emel menyatakan bahawa AirAsia sudah memberi bayaran balik secara kredit, tetapi apabila saya semak baki akaun AirAsia, tiada kredit diterima.

“Pada pandangan saya, AirAsia sewajarnya melanjutkan pas ini setahun lagi supaya pengguna seperti saya dapat menggunakannya,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.