- Iklan -
Berita

Kelemahan JPJeBid rencatkan obsesi bidaan nombor pendaftaran kenderaan

Sistem pelayan yang lembab dan masalah dalam pembayaran adalah antara rungutan biasa pengguna.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pengguna internet merungut mengenai platform JPJeBid yang digunakan bagi membida nombor pendaftaran kereta idaman mereka.
Pengguna internet merungut mengenai platform JPJeBid yang digunakan bagi membida nombor pendaftaran kereta idaman mereka.

Sejak kerajaan memperkenalkan sistem pembidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian tiga tahun lalu, rakyat Malaysia dilihat ghairah membida nombor pendaftaran pilihan mereka bagi mengikut trend masa kini.

Bagaimanapun keterujaan seakan terencat di mana pemain industri berkata ia bukan berpunca daripada perubahan kehendak pengguna sebaliknya terjejas akibat kelemahan sistem yang disediakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sendiri.

Sistem bidaan dalam talian (e-bidding) yang diperkenalkan pada 2019 di bawah JPJ, menyaksikan pengguna jalan raya terus bersaing bagi mendapatkan nombor kegemaran mereka.

Namun, seorang peniaga nombor pendaftaran kenderaan, Wallace Choy dari syarikat Auto Plate Division (APD) berkata keghairahan dan sambutan hangat pembida untuk memiliki nombor idaman masing-masing berkurangan apabila pelayan atau server bagi aplikasi dan laman sesawang e-bidding atau JPJeBid tidak dapat menampung jumlah pengguna yang ramai.

Katanya, satu demi satu masalah timbul ekoran kelemahan penyelenggaraan pelayan tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembida.

Wallace Choy daripada syarikat Auto Plate Division berkata ramai pengguna merungut mengenai kelemahan JPJeBid.

Menurut Choy, ramai peniaga-peniaga nombor pendaftaran yang dikenalinya turut memberikan aduan terhadap pelayan sistem JPJeBid yang amat perlahan menyebabkan ramai pembida tidak boleh akses dan membida nombor idaman masing-masing.

“Sedangkan mereka sudah bayar caj sebanyak RM10 untuk satu nombor yang ingin dibina.

“Bayangkan kalau saya nak bida 10 nombor sudah dikenakan bayaran sebanyak RM100. Tapi tak boleh bida,” katanya kepada MalaysiaNow dalam wawancara di Petaling Jaya, Selangor.

Choy menambah bayaran caj sebanyak RM10 untuk membida setiap nombor pendaftaran tidak akan dipulangkan semula meskipun pembida berjaya atau gagal mendapatkan nombor pendaftaran tersebut.

MalaysiaNow sudah menghubungi JPJ untuk mendapatkan maklumbalas berhubung dakwaan kelemahan JPJeBid.

Sebelum sistem JPJeBid diperkenalkan, pembidaan nombor pendaftaran kenderaan dilakukan secara manual di pejabat JPJ negeri di seluruh negara.

Menurut Choy, selepas sistem pembidaan nombor pendaftaran dilakukan secara dalam talian pada 2019, ia menjadi semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, disebabkan itu harga nombor pendaftaran meningkat naik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Pembayaran sukar dibuat

Menurut Choy selain itu kelemahan pelayan untuk JPJeBid menyebabkan pembida sukar untuk membuat bayaran.

Katanya ramai yang mengadu kepadanya pembida tidak boleh membuat bayaran kerana pelayan bermasalah walaupun meletakkan harga tertinggi.

“Dalam satu kes saya jumpa, dia bida RM5080, yang menang nombor itu pembida pada harga RM5000.

“Sebab pelayan perlahan, sistem tak boleh buat bayaran, jadi orang lain dapat,” katanya.

Perkembangan ini menyebabkan ramai pembida mula tidak senang hati dengan aplikasi tersebut dan menggesa JPJ bertindak segera.

Choy menunjukkan perbezaan plat nombor pendaftaran kereta yang mengikut garis panduan JPJ dan melanggar peraturan jabatan itu.

Jika masalah tersebut tidak dipantau, kata Choy, ianya bukan sahaya menyusahkan para pembida tetapi juga membawa kerugian kepada kerajaan kerana obsesi membida nombor pendaftaran menjadi terencat disebabkan kelemahan-kelemahan ini.

Menurut Choy, pemerhatiannya mendapati sistem JPJeBid mula mengalami ganggu sejak enam bulan lalu selepas JPJ mengemaskini aplikasi tersebut dengan meletakkan senarai lima pembida teratas dengan harga bidaan masing-masing.

Sebelum itu, masalah tersebut tidak berlaku dan pembida boleh menjalankan bidaan dengan lancar.

“Mungkin juga pelayan tidak boleh tampung kemasukan trafik pengguna. Jadi pelu dinaik taraf supaya bersesuaian dengan trafik semasa.”

Choy mengambil langkah-langkah yang berpatutan bagi memudahkan sistem pembayaran.

“Wujudkan juga cara pembayaran yang pelbagai seperti e-wallet khas untuk pembidaan sahaja. Ini lebih memudahkan orang,” katanya.

Ini memandangkan, terdapat cuma dua jenis bayaran digunakan iaitu melalui kad debit bank atau kredit kad.

“Jika seseorang kalah dalam pembidaan, nilai bidaan mereka akan floating (dipegang) selama 14 hari bagi bayaran kad debit. Manakala tujuh hari melalui kad kredit.”

Atas sebab itu, katanya, JPJ perlu memohon tempoh sekatan nilai bidaan tersebut dipendekkan ke suatu tempoh yang lebih logik dan menyenangkan urusan ramai pihak.

Lebih telus

Di sebalik kelemahan dalam JPJeBid, Choy mengakui ia lebih telus berbanding sistem lama.

Katanya, ketelusan terserlah apabila setiap pembida boleh melihat jumlah bidaan tertinggi dan jumlah minima bidaan semasa sebelum ianya ditutup.

“Sistem dahulu tak boleh, kena hentam (agak-agak) sahaja,” katanya.

Sehingga kini, nombor pendaftaran kenderaan khas “Malaysia 1” memecah rekod bidaan paling tinggi yang pernah dibuat bagi nombor pendaftaran satu digit.

Ia dimenangi oleh identiti korporat Aldi International Sdn Bhd berjumlah RRM1,111,111 pada tahun 2019.

Nilai jualan tersebut memecah rekod jualan sebelumnya bernilai RM989,000 dengan pendaftaran “V1”.