- Iklan -
Berita

Penguat kuasa antara 6 ditahan kes rasuah lulus lesen GDL

Lima suspek direman bermula hari ini, sementara seorang lagi dilepas dengan jaminan SPRM.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Enam suspek di Mahkamah Khas Reman Seremban hari ini bagi permohonan reman oleh SPRM.
Enam suspek di Mahkamah Khas Reman Seremban hari ini bagi permohonan reman oleh SPRM.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai enam individu termasuk dua pegawai penguat kuasa agensi kerajaan kerana disyaki terlibat dengan rasuah bagi meluluskan ujian memandu kelas kenderaan perdagangan (GDL) menerusi institusi memandu di sekitar Negeri Sembilan.

Selain dua pegawai penguat kuasa tersebut, empat suspek lain merupakan tenaga pengajar dan pekerja di institusi memandu.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek berusia antara 35 hingga 65 tahun tersebut ditahan sekitar pukul 5 hingga 6 petang di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, semalam.

Difahamkan lima dari enam suspek kini direman selepas penolong kanan pendaftar Khairunnisa Kasa membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM di Mahkamah Khas Reman Seremban hari ini.

Empat suspek direman selama lima hari sementara seorang lagi direman tiga hari.

Seorang lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM disebabkan isu kesihatan.

Menurut sumber lagi, mereka disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah antara RM300 sehingga RM650 daripada pemohon bagi meluluskan setiap ujian lesen memandu kelas GDL melalui tenaga pengajar institut memandu di sekitar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi turut mengesahkan penahanan tersebut.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) & Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.