- Iklan -
Berita

Sultan Selangor umum Persiaran Institut ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub

Ia ada sempena nama pengarah pertama Institut Teknologi Mara dan tokoh pendidikan negara yang meninggal dunia pada 14 Jun lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tokoh pembangunan Universiti Teknologi Mara Arshad Ayub. Gambar: Bernama
Tokoh pembangunan Universiti Teknologi Mara Arshad Ayub. Gambar: Bernama

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar nama Persiaran Institut di Seksyen 1, Shah Alam ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub, bersempena nama pengarah pertama Institut Teknologi Mara yang kini dikenali Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Istana Alam Shah memaklumkan titah Sultan Selangor itu telah diluluskan dan dikuatkuasakan serta merta oleh kerajaan negeri Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Pertukaran nama persiaran ini merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer yang bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 (di hadapan pintu masuk utama UiTM) hingga persimpangan lampu isyarat (berhampiran Universiti Selangor) Seksyen 7, Shah Alam,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, penukaran nama persiaran tersebut adalah bagi mengenang jasa Arshad yang juga tokoh pendidikan negara dihormati dan disegani serta banyak berjasa dalam memperkasakan sistem pengajian tinggi di negara ini khususnya pembangunan UiTM.

Arshad meninggal dunia pada 14 Jun lepas di usia 93 tahun.