- Iklan -
Berita

Kerana Covid-19, taman tema air pertama Sarawak terabai

Taman tema air tersebut sepatutnya dibuka semula awal tahun ini, namun persoalan timbul berhubung kelangsungan operasinya.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana taman tema air di Bandar Peranginan Borneo Samariang sunyi dan lengang dan tidak terurus ekoran sekatan pergerakan Covid-19.
Suasana taman tema air di Bandar Peranginan Borneo Samariang sunyi dan lengang dan tidak terurus ekoran sekatan pergerakan Covid-19.

Di Bandar Baru Samariang yang terletak kira-kira 20km dari Kuching, beberapa bangunan yang dibina di tebing Sungai Batang Salak dilihat lengang dan sunyi.

Segala-galanya sunyi dan gelap, malah jalan raya yang menghala ke arah bangunan itu juga kosong tanpa sebarang kenderaan.

Pada satu ketika, kawasan itu adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan besar-besaran di Petra Jaya yang dikenali sebagai Projek Bandar Peranginan Borneo Samariang.

Projek pembinaan yang dirancang di kawasan seluas 500 ekar itu turut termasuk pusat konvensyen antarabangsa, pangsapuri servis, beberapa blok perumahan dan taman tema air.

Kemudahan taman tema air yang suram tidak diselenggara dengan baik sepanjang dua tahun pandemik.

Pembinaannya adalah sebagai sebuah tarikan pelancong ke Sarawak baik dari luar negara mahupun tempatan – namun ketika ini, semuanya tidak lagi beroperasi.

Perubahan yang paling ketara di kawasan itu adalah taman tema airnya yang dilihat terabai.

Ketika dibuka pada 2019, ia menjadi taman tema air yang pertama di Sarawak dan terbesar dalam negara.

Menyediakan gelongsor besar berwarna-warni yang berpusing melalui beberapa pokok dan berakhir dengan kolam air, ia menjadi tarikan hiburan kepada kaum keluarga bagi menghabiskan hujung minggu dan cuti sekolah.

Namun Covid-19 yang melanda pada 2020 mengubah segala-galanya.

Penutupan dan sekatan pergerakan yang dilaksanakan di seluruh negara menyebabkan taman tema air itu sunyi tanpa pengunjung.

Selepas dua tahun pandemik dan negara mula beralih ke fasa endemik, keadaannnya masih sunyi dan tidak berubah.

Sebuah gelongsor berwarna-warni di sebalik pokok yang tidak diselenggarakan.

Seorang warga tempatan yang dikenali sebagai Hakimi berkata taman itu sepatutnya dibuka semula pada awal tahun ini.

“Tetapi sudah berbulan-bulan, tiada apa yang berubah,” tambahnya.

“Ia sudah mula beroperasi tetapi kena tutup sebab sekatan pergerakan.”

Amirah yang merupakan bekas pekerja di taman tema itu berkata pihak pengurusan beberapa kali berjanji mengenai pembukaan semula taman tema itu sebelum ini untuk menyelamatkan kemudahan yang sudah terbiar sekian lama itu.

“Taman tema itu hanya ditutup kerana sekatan Covid-19,” katanya.

“Sepanjang enam bulan ditutup, pihak pengurusan masih tidak berhentikan kami. Malah mereka terus membayar gaji kami walaupun dipotong separuh.”

Namun disebabkan pendapatan yang hampir tiada akibat ketiadaan pengunjung selama berbulan-bulan, dia bimbang pihak pengurusan mungkin bergelut dengan masalah kewangan.

“Saya dengar berita mereka akan buka semula tempat itu,” katanya.

“Tetapi saya tidak fikir mereka boleh jalankan semula operasi taman tema itu lagi.”

Kolam air yang satu ketika jernih kini keruh dan berlumut.

Amirah berkata, salah seorang rakannya yang tinggal berhampiran juga pernah bekerja bersamanya di taman tema itu.

“Dia kata ada beberapa syarikat datang meninjau tempat itu. Tetapi mereka hanya sekadar melawat. Selepas itu, tiada khabar berita.”

Projek Bandar Peranginan Borneo Samariang yang dimiliki oleh Sensoria Group Bhd itu dimulakan pada 2018.

Borneo Samariang Garden merupakan projek perumahannya termasuk ratusan unit pangsapuri servis dan 1,000 buah rumah dalam pelbagai fasa.

Pembinaan kawasan perumahan itu sepatutnya berakhir pada 2019, tetapi ia tidak pernah berlaku.

MalaysiaNow difahamkan sebilangan pemilik unit di kawasan itu kini tertekan kerana mereka sudah mula membayar ansuran rumah yang dibeli.

Kerajaan Sarawak berkata sebelum ini akan mengambil alih pembangunan Borneo Samariang Garden.