- Iklan -
Berita

‘Warung teh tarik dangdut’ jual air RM1 sejak 20 tahun lalu

Resepi rahsia air minuman 'ikat tepi' Huri Teh Tarik Dangdut menarik pelanggan sejak dua dekad lalu.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pekerja warung Huri Teh Tarik Dangdut di Taman Medan menyerahkan pesanan kepada pelanggan. Harga murah air minuman ikat tepi yang dijualnya menjadi tarikan sejak 20 tahun lalu.
Seorang pekerja warung Huri Teh Tarik Dangdut di Taman Medan menyerahkan pesanan kepada pelanggan. Harga murah air minuman ikat tepi yang dijualnya menjadi tarikan sejak 20 tahun lalu.

Di belakang blok flat kos rendah di Taman Medan, Petaling Jaya kelihatan sekumpulan pelajar sekolah berjalan kaki menuju ke sebuah warung menjual minuman.

Waktu tengah hari yang panas terik itu, mereka melaungkan:

“Pak Cik Huri, teh o ais satu,” sambil menghulurkan sekeping duit RM1.

Huri atau nama sebenarnya Mohd Zabri Abdul Mukti menjadi individu paling digemari kejiranan tersebut kerana menjual air minuman “ikat tepi” dengan harga yang murah serendah RM1 sejak 20 lalu.

Rutin hariannya bermula seawal jam 6.00 pagi untuk membersihkan warung dan membancuh minuman sebelum dibuka kepada pelanggan pada jam 7.00 pagi.

Tinjauan MalaysiaNow ke warung Huri Teh Tarik Dangdut kepunyaannya baru-baru ini mendapati pelanggan yang datang membeli air ikat tepi tidak berhenti sejak waktu pagi hingga lewat malam.

Seorang pelanggan membayar RM1 bagi air teh o ais yang dibeli di Huri Teh Tarik Dangdut.

Ekoran itu, kata Huri, dia boleh menjual sekitar 2,000 plastik air sehari dengan purata 1,000 plastik untuk teh o ais sahaja.

“10 jag untuk teh o ais sekejap sahaja habis. Kurang dua jam. Sekali datang minta tiga, sekali lagi datang ambil lima.

“Itu belum termasuk air-air perisa lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

Atas sebab itu, kata Huri, air plastik ikat tepi yang digantungnya itu tidak akan sempat kotor terkena debu atau kotoran serta boleh diminum dalam keadaan ais yang belum mencair.

Rahsia jual air murah dan laku?

Huri memberitahu, harga air yang dijual di warungnya tidak mengalami sebarang kenaikan harga yang mendadak, ini menjadikan warung itu lokasi utama penduduk setempat mendapatkan minuman dengan harga yang rendah.

Di pasaran luar, kedai makan dan restoran mengenakan cas segelas air teh o ais sebanyak RM2.00 dan RM2.20 untuk bungkus.

Tetapi di warung Huri, teh o ais boleh dibeli pada harga RM1 dan minuman paling mahal di warung itu berharga RM2.60 untuk nescafe ais yang berharga sekitar RM3.00 segelas di kedai makan luar.

Menurut Huri, dia tidak meletakkan kepentingan harga minuman yang dijual sebaliknya mementingkan kuantiti minuman yang dibeli.

“Kalau seringgit sahaja, tapi dapat jual 1000 sehari, saya dah ada RM1000. Jika jual mahal, pelanggan yang datang sedikit.

“Macam mana nak bertahan?”

Mohd Zabri Abdul Mukti atau lebih dikenali sebagai Huri ‘menarik’ air teh untuk dijual di warungnya yang terletak di Taman Medan, Petaling Jaya.

Katanya Huri, selama dua dekad meniaga di warung tersebut, dia dapati teh o ais menjadi pilihan utama pelanggan setianya diikuti teh ais, teh tarik, nescafe ais dan sirap limau ais.

“Boleh kata 80% yang datang memang beli teh o ais.”

Katanya bancuhan air teh o di kedai itu mempunyai resepi rahsia dan hanya dia serta para pekerjanya sahaja yang tahu.

Sehingga kini, Huri berkata, dia boleh menjana pendapatan mencecah RM30,000 sebulan tidak termasuk kos bahan seperti gula, ais, plastik dan penyedut minuman.

Manakala, sebanyak 70 hingga 80 beg ais setiap hari dihantar ke warung sebanyak tiga kali sehari.

“Gula dulu, saya beli 10kg, sekarang kena beli satu palet (25kg) setiap seminggu.”

Mengapa ‘dangdut’

Menjelang ke waktu malam, warung Huri ditutup sementara untuk pertukaran syif pekerja dan waktu sembahyang.

Setakat ini, dia mempunyai empat orang pekerja dengan dua orang ditugaskan untuk syif pagi dan dua lagi di malam.

Meskipun pada waktu malam dan hujan lebat, pelanggan masih tidak putus singgah di warungnya untuk membeli minuman.

Huri melambai tangan kepada seorang kanak-kanak ketika menyerahkan pesanan pelanggan yang menunggu dalam kereta kerana hujan.

Kata Huri, dia turut memiliki pelanggan setia dari luar kawasan Petaling Jaya terutamanya dari Klang dan Kuala Lumpur.

Bukan itu sahaja, dia juga pernah mendapat tempahan daripada syarikat besar seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menyediakan pelbagai minuman dalam satu majlis anjuran syarikat itu di Kuantan, Pahang beberapa tahun lalu.

Ketika ditanya, mengapa nama warungnya terpahat perkataan “dangdut”, Huri ketawa sebelum menjawab.

Jelasnya, dia amat meminati muzik dangdut sejak zaman mudanya, hampir seluruh masanya dihabiskan di kelab-kelab dangdut untuk menari dan menyanyi.

“Saya pergi kelab bukan untuk benda bukan-bukan. Saya pergi berjoget sahaja.”

Bagaimanapun, selepas berkahwin dan bergelar bapa, Huri mula menjauhkan diri daripada aktiviti itu dan fokus mencari pendapatan tetap.

“Sebelum buka warung ni, saya jadi pemandu peribadi. Lepas waktu kerja, jual air. Lama-kelamaan saya berhenti,” katanya dan menambah dirinya pernah aktif menerima jemputan untuk menari dangdut bersama selebriti dalam program-program televisyen dan radio.

“Bila orang datang kedai saya, tanya di mana Huri? Pekerja kata, (pergi) dangdut. Itu yang dapat warung Huri Teh Tarik Dangdut.”

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.