- Iklan -
Berita

Lelaki tinggalkan perniagaan keluarga kejar impian jadi badut

Mohd Fadly Abu Hasan berdepan pelbagai cabaran untuk membina jenama 'Awang the Clown', namun dia cekal menghadapinya.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Gelagat Mohd Fadly Abu Hasan sebagai 'Awang Badut' ketika membuat persembahan di hadapan kanak-kanak tadika di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan.
Gelagat Mohd Fadly Abu Hasan sebagai 'Awang Badut' ketika membuat persembahan di hadapan kanak-kanak tadika di Taman Lestari Perdana, Seri Kembangan.

Hampir 10 tahun lalu, Mohd Fadly Abu Hasan mengambil keputusan besar dalam kariernya apabila meninggalkan pekerjaan sebagai seorang pengarah operasi syarikat elektrik demi mengejar impian menjadi seorang badut.

Menceritakan kisahnya, Fadly mengakui sudah bosan bekerja di syarikat milik keluarganya itu selepas bertahun-tahun dan semakin tertarik dengan persembahan silap mata.

Malah, dia sering meluangkan masa lapangnya pada hujung minggu menghadirkan diri ke majlis dan aktiviti yang terdapat persembahan badut kerana ingin belajar teknik melakukan silap mata.

“Selepas belajar beberapa teknik baru, saya sering ke Dataran Shah Alam melakukan persembahan kecil-kecilan secara percuma untuk meningkatkan lagi teknik silap mata dan menambah baik kemahiran berkomunikasi dengan orang ramai,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Selepas 10 tahun bekerja di syarikat milik keluarga sejak 2003 hingga 2013, saya akhirnya membuat keputusan mulakan perniagaan badut dikenali sebagai ‘Awang The Clown’.”

Fadly turut menerima jemputan membuat persembahan di acara keluarga dan jalanan dengan membuat belon hiasan di Bangi Avenue.

Namun begitu, menguruskan perniagaan badut bukanlah satu perkara mudah bagi Fadly apabila cabaran terbesar yang perlu dihadapinya adalah mendapatkan restu kedua ibu bapanya.

Katanya, disebabkan dia dibesarkan dalam keluarga yang berpendidikan tinggi, pilihan kerjaya menjadi seorang badut bukanlah perkara yang disambut baik ahli keluarganya.

“Sudah tentu mereka marah apabila saya luahkan hasrat ingin menjadi seorang badut, tetapi saya tetap teruskan juga.

“Ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan sebab saya tahu bahawa masyarakat sentiasa berpandang sinis terhadap seorang badut kerana sering mengaitkan sesuatu perkara yang buruk, mengarut, bodoh dan tidak beretika dengan watak tersebut,” kata Fadly yang mempunyai diploma dalam bidang perakaunan.

Usaha Fadly mula menampakkan hasil apabila dia menerima semakin banyak jemputan untuk menghiburkan pelbagai jenis majlis di seluruh negara.

Perniagaannya terus berkembang sehingga satu tahap Fadly tidak menang tangan menghadiri semua jemputan tersebut dan dia kemudian memutuskan untuk menambah bilangan badut.

Wajah ceria seorang pelanggan restoran selepas menerima belon dari Awang Badut.

Kini terdapat empat badut termasuk Fadly, di bawah jenama Awang The Clown.

“Menjadi seorang badut tidak semudah yang disangka. Individu itu perlu mempunyai disiplin dan kesabaran tinggi serta pelbagai kemahiran,” ujar beliau.

Menurut Fadly, antara detik paling dingati sejak memulakan perniagaan badut ialah apabila ibu bapanya secara tiba-tiba muncul menyaksikan salah satu persembahannya.

Katanya, kehadiran ibu bapanya itu sekali gus menunjukkan bahawa mereka mula memahami dan memberi sokongan kepada Fadly memilih kerjaya menjadi seorang badut.

“Sebagai anak, berkat ibu bapa sangat penting. Sebab itu saya berusaha untuk buktikan bahawa menjadi badut bukanlah satu kerjaya yang remeh, sebaliknya ia adalah kerjaya yang mulia.

“Banyak perkara saya belajar selepas menjadi seorang badut. Bukan saja ia menjadikan saya seorang penghibur, tetapi juga usahawan yang cekal,” tambah Fadly.

Dalam pada itu, Fadly turut menasihatkan kepada orang ramai khususnya mereka yang berhasrat menjadi usahawan supaya jangan mudah mengalah dan terus yakin meskipun mempunyai idea di luar kotak.

“Sebab itu jika ingin menceburi sesuatu bidang, pastikan ia didorong oleh minat. Barulah kita akan terus bersemangat walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya.