- Iklan -
Berita

Sarawak bergelut kekurangan bekalan telur ayam?

Bekalan daging ayam dilihat masih cukup, namun pasar basah dan pasar raya bergelut dengan kekurangan bekalan telur.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Satu papan tanda di sebuah pasar raya Sarawak memaklumkan pelanggan mereka dihadkan untuk membeli hanya satu papan telur sahaja.
Satu papan tanda di sebuah pasar raya Sarawak memaklumkan pelanggan mereka dihadkan untuk membeli hanya satu papan telur sahaja.

Ketika industri di semenanjung berusaha untuk menstabilkan bekalan ayam susulan larangan eksport bagi menangani kekurangan bekalan domestik, namun situasi berbeza di Sarawak di mana pemain industri bergelut dengan isu kekurangan bekalan telur.

Walaupun permintaan bagi daging ayam meningkat semasa musim perayaan baru-baru ini, namun bekalan dilihat masih mencukupi di seluruh Sarawak.

Berhubung kekurangan bekalan telur di Sarawak, beberapa pasar basah dan pasar raya di Kuching mengambil langkah untuk menanganinya di mana mereka mengehadkan jumlah telur yang boleh dibeli pelanggan.

Di CCK Freshmart, Medan Niaga Satok, rak bagi telur ayam dilihat kosong.

Walaupun masih ada stok telur yang disimpan di stor, ia adalah untuk pelanggan yang membuat tempahan lebih awal.

“Telur itu adalah untuk pelanggan kami yang tempah semalam,” kata seorang pekerja bernama Rosli kepada MalaysiaNow.

“Kini, pelanggan terpaksa membuat tempahan lebih awal untuk beli telur ayam kerana stok kami tidak cukup.”

Menurut Rosli, penghantaran dibuat tiga kali seminggu, pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis.

Katanya, jika pelanggan lewat membuat tempahan, mereka perlu menunggu sehingga stok baru datang pada minggu berikutnya.

Telur mahal

Bekalan yang merosot juga menyebabkan harga telur meningkat di mana satu papan telur gred A yang sebelum ini berharga RM14 kini berharga kira-kira RM17.50.

Sementara telur gred B pula berharga RM12.90 sepapan.

Di Pasar Raya Upwell, telur gred A dijual pada harga antara RM18.90 dan RM19.90 sepapan.

Pembelian juga turut dihadkan di mana pelanggan hanya dibenarkan membeli sepapan telur bagi satu-satu masa.

Seorang pekerja memberitahu MalaysiaNow bahawa pasar raya itu terpaksa mengenakan had kepada pembeli bagi memastikan semua pelanggan mendapat bekalan yang cukup.

“Minggu lalu, bekalan habis terlalu cepat disebabkan pelanggan yang membelinya adalah daripada kalangan pengusaha kek lapis,” katanya merujuk kek lapis yang popular di Sarawak.

“Mereka beli sehingga lima papan seorang, menyebabkan bekalan kami habis.”

Pekerja pasar raya turut berkata sukar untuk menambah bekalan telur di kedainya sehingga pelanggan terpaksa menunggu sehingga seminggu sebelum stok baru tiba.

Tiada ayam, tiadalah telur

John Frederick, penternak ayam dari Kuching, menjelaskan kekurangan bekalan telur di negeri itu adalah berpunca daripada permintaan tinggi terhadap daging ayam semasa sambutan Hari Raya dan Gawai Dayak baru-baru ini.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia berkata ramai penternak sepertinya terpaksa melebihkan bekalan dengan menjual ayam penelur ke pasaran bagi memenuhi permintaan daging ayam.

“Pembukaan semula sempadan negeri dan musim perayaan menyebabkan peningkatan permintaan di pasar basah, terutamanya untuk daging ayam,” katanya.

“Saya terpaksa mengurangkan saiz kumpulan ayam penelur saya bagi memenuhi permintaan.”

Berikutan langkah yang diambil penternak tersebut, ia memberi kesan besar terhadap rantaian bekalan bagi pengeluaran telur.

“Kurangnya ayam penelur di ladang bermakna semakin berkuranglah telur yang akan dihasilkan,” kata Frederick.

Menurutnya, bagi menghasilkan bilangan telur yang konsisten, jumlah ayam penelur mesti lebih banyak daripada ayam jantan.

Namun, ketika ini, keadaan sebaliknya terjadi.

“Kami memerlukan lebih banyak ayam penelur bagi menstabilkan tahap pengeluaran telur ayam,” kata Frederick.

Katanya, apabila kumpulan ayam penelur yang baru mula bertelur, bekalan telur akan mula stabil.

“Saya jangka pengeluaran telur akan kembali normal pada Julai atau Ogos,” katanya.

Di sebalik usaha untuk menstabilkan bekalan, penternak ayam masih berdepan isu kos pengangkutan yang tinggi bagi makanan ternakan mereka.

Gangguan sedemikian juga turut menjejaskan pengeluaran telur secara umumnya, kata Frederick.

“Untuk menghasilkan telur tidak sukar, tetapi prosesnya mengambil masa. Perancangannya mengambil masa berbulan-bulan dalam mengatur tarikh penetasan ayam, bermula dari masa ayam menetas.

“Kitaran tersebut mesti diurus secara efektif dan efisien supaya pengeluaran mendapat hasil maksimum.

“Namun sudah semestinya, wujud banyak faktor yang mempengaruhi pengeluaran telur semasa kitaran pengeluaran.”

Frederick berkata kenaikan kos makanan ternakan memberi tekanan kepada penternak tempatan, sehingga sebahagian mereka mengambil keputusan untuk mengecilkan skala operasi.

“Saya rasa Malaysia perlu mula tanam jagung sendiri sekarang,” tambahnya.