- Iklan -
Berita

Tok Mat, Najib pernah rancang jatuhkan Zahid, dedah Tajuddin

Menurut Tajuddin, perjumpaan tertutup diadakan di rumahnya membabitkan pimpinan tertinggi Umno berhubung usaha tersebut.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman menunjukkan sebuah gambar bukti pertemuan pemimpin Umno di rumahnya pada 2020 pada sidang media di Eastin Hotel, Petaling Jaya.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman menunjukkan sebuah gambar bukti pertemuan pemimpin Umno di rumahnya pada 2020 pada sidang media di Eastin Hotel, Petaling Jaya.

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang baru dipecat Tajuddin Abd Rahman mendedahkan terdapat usaha menjatuhkan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi oleh dua orang kuat parti Melayu itu, Mohamad Hasan dan Najib Razak pada Mei 2020.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, perjumpaan tertutup diadakan di rumahnya pada tempoh itu membabitkan pimpinan tertinggi Umno.

“Sebenarnya Zahid sudah lama dianggap tak layak. Mungkin dia boleh bertahan lima enam bulan,” katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

“Kita adakan perjumpaan dan kesimpulannya lebih baik dia undurkan diri secara terhormat. Tok Mat duduk situ, Najib duduk situ, Khaled Nordin duduk situ.”

Katanya, gerakan itu bagaimanapun gagal apabila Mohamad atau mesra dipanggil Tok Mat yang juga timbalan presiden Umno membuat pusingan U selepas digertak oleh orang-orang Zahid.

Ekoran itu, katanya, Mohamad kemudiannya tidak mengakui penglibatan dalam gerakan tersebut.

Menurut Tajuddin, Najib juga tidak meneruskan usaha tersebut selepas dicadangkan menjadi pengerusi Barisan Nasional.

Katanya, semasa perjumpaan tersebut satu memorandum dicadangkan bagi mendesak Zahid berundur dan beliau ditugaskan membuat tinjauan dan mengumpulkan ketua-ketua bahagian yang bersetuju memorandum itu dibuat di mana kira-kira 130 ketua bahagian Umno bersetuju dengan cadangan tersebut.

Beliau turut menunjukkan bukti gambar perjumpaan perbincangan yang berlaku di rumahnya semasa sidang media hari ini.

Namun, Tajuddin berkata setelah gerakan tersebut gagal, ketua bahagian Umno sedang menilai siapa yang akan berpotensi menerajui parti selepas ini sebelum membuat keputusan menyokong mana-mana individu sebagai presiden.

Dalam pada itu, beliau menggesa Zahid untuk meletakkan jawatan secara terhormat dan memberi laluan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memimpin Umno.