Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Segama hari ini mengumumkan keluar Bersatu yang disertainya selepas meninggalkan Parti Warisan (Warisan) tahun lepas.
Mohamaddin berkata beliau bertindak demikian atas sebab tidak diberi peranan serta kepercayaan untuk mengukuhkan parti tersebut terutama di peringkat akar umbi di kawasan Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, setelah lebih enam bulan bersama Bersatu.
Beliau berkata walaupun keluar daripada sebuah parti membentuk kerajaan, beliau kekal sebagai ahli Parlimen dan Adun yang menyokong kerajaan Persekutuan juga Sabah dalam kapasiti sebagai wakil rakyat bebas.
“Setelah lebih enam bulan tiada sebarang peranan diberikan, saya tidak rasa kecewa dan saya anggap mungkin Bersatu sudah cukup kuat di Parlimen Lahad Datu dan DUN Segama oleh itu tiada keperluan untuk saya bertahan lama di parti ini,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.
Pada 30 Oktober tahun lepas Mohamaddin mengumumkan keluar Parti Warisan (Warisan) sebelum menyertai Bersatu pada 26 November tahun lepas, dan hari ini membuat keputusan keluar daripada parti itu.