Setiap dua hari, sepasang suami isteri dari Kampung Chabang Tiga Pendek, Pasir Mas akan mengambil bekalan air bersih di rumah ibu saudara yang terletak kira-kira 12km dari rumah mereka.
Itulah rutin bagi Suhaila dan suaminya, Zaki sejak mereka mendirikan rumah tangga tujuh tahun lalu.
Bekalan air di rumah mereka seringkali terganggu dan jika ada, air yang ditadah pula kotor dan keruh.
Satu keadaan yang tidak selamat untuk diminum dan digunakan untuk membersihkan diri.
Mujurlah ehsan ibu saudaranya yang mempunyai enjin mengepam air telaga di belakang rumah boleh memberikan bekalan air bersih untuk Suhaila.
Suami isteri itu mengangkut dua hingga tiga botol air bersaiz enam liter menaiki kereta kecil milik mereka.
Dengan bekalan itu, dapatlah Suhaila gunakan untuk memasak, memandikan dua orang anaknya yang masih kecil dan juga diminum.
Kehidupan sukar yang dihadapi oleh Suhaila dan Zaki tidak asing lagi di Malaysia memandangkan banyak isi rumah di Kelantan terkesan akibat krisis kemiskinan air bersih.
Setakat 2020, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) melaporkan sebanyak 96.9% populasi rakyat Malaysia di semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mendapat bekalan air bersih dan dirawat.
Manakala, daripada jumlah tersebut, hanya 71.7% daripada 1.7 juta penduduk Kelantan mendapat akses bekalan air bersih dan berkualiti menjadikan negeri itu mempunyai peratusan terendah kepada akses air bersih.
Menurut ahli ekonomi dari Akademi Sains Malaysia Medaline Berma, sejak sekian lama negara mengukur kemiskinan dengan menggunakan garis pendapatan tanpa mengira akses air bersih juga sebagai salah satu kemiskinan.
“Kita sibuk bagi duit sahaja, tak tahu rakyat boleh minum air atau tidak,” katanya kepada MalaysiaNow.
Bank Dunia menyatakan seseorang berada dalam kemiskinan air apabila isi rumah tidak dibekalkan dengan air bersih dengan jumlah yang sewajarnya dan tidak dibekalkan dengan air yang dirawat atau sistem pembentungan air yang sepatutnya.
Mengulas lanjut, Medaline berkata, krisis air dinilai mengikut empat kategori kawasan bagi mendapatkan maklumat menyeluruh tentang kemiskinan tersebut.
Pertama, katanya, kawasan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Kuching, Johor Bharu dan Kota Kinabalu tidak mengalami masalah berhubung akses air bersih dan dirawat.
“Orang selalu bandingkan, kononnya sistem air di Kuala Lumpur tak sama dengan Sarawak. Itu tidak betul.
“Kalau nak bandingkan, kena buat perbandingan kategori sama. Keadaan air di Kuala Lumpur sama dengan di Kuching sebab mereka sama-sama di bandar.”
Kedua, katanya kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan Bangi di Selangor dan Georgetown di Pulau Pinang juga dilihat tidak mengalami masalah serius mengenai akses air bersih.
Di kawasan ini, kata Medaline, air menjadi isu utama kerana bekalan tidak mencukupi.
Seterusnya, meliputi kawasan luar bandar dan pedalaman yang disifatkan Madeline sebagai peringkat yang sangat bermasalah.
Ini kerana katanya, di kawasan-kawasan itu mengalami pertembungan masalah air yang tidak dirawat dan tiada bekalan air bersih.
“Contohnya, kawsan urban di Selangor memang air dirawat tapi tak cukup menampung keperluan populasi dan industri.
“Tetapi di kawasan pedalaman, tiada air bersih kerana ada pencemaran, pembalakan dan aktiviti nyah hutan.”
Dengan mengambil contoh, Sungai Rajang di Sarawak yang musnah teruk disebabkan pembalakan sehingga air sungai tersebut tidak lagi bersih dan tercemar teruk.
“Saya tak tahu lah, itu air sungai ataupun dah jadi teh tarik,” katanya.
Sejak awal tahun ini, banyak laporan media tempatan menggesa kerajaan negeri Sarawak untuk menyiasat lambakan sisa kayu hanyut yang kini menyebabkan aliran Sungai Rajang di negeri itu tersumbat.
Situasi itu menyebabkan loji rawatan air di kawasan yang terjejas tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana tahap pencemaran air yang tinggi.
Air lebih penting selepas pandemik
Menurut Madeline, isu kemiskinan air sangat penting untuk dibincangkan dan diambil perhatian terutama sekali di waktu pandemik Covid-19, krisis air bersih menjadi semakin teruk.
Ketika itu, air sangat diperlukan untuk membasuh tangan dengan lebih kerap, mencuci, memasak dan minum.
“Air juga sangat berkait rapat dengan kebersihan. Mandi, cuci tangan dan juga sebagai orang Islam, anda perlukan air untuk ambil air sembahyang.
“Dalam tema kemiskinan, isu ini sangat jarang diceritakan. Kita tak mahu jadi macam isu kemiskinan kanak-kanak.
“Bila Covid-19 berlaku, baru nak cerita tentang kurang zat, malnutrisi dan terbantut.”