Had kelajuan tidak melebihi 25km/j adalah antara yang diperhalusi dalam garis panduan berhubung penggunaan kenderaan mikromobiliti di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Alias Rameli berkata PLANMalaysia kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan garis panduan berhubung penggunaan kenderaan mikromobiliti.
Alias yang ditemui Bernama pada Forum Bandar Sedunia ke-11 (WUF11) berkata antara elemen yang sedang dikaji dalam garis panduan itu adalah had kelajuan kenderaan mikromobiliti, penandaan jalan serta laluan khusus.
“Had kelajuan kenderaan mikromobiliti contohnya mungkin tidak melebihi 25 km/j, ini kerana kenderaan itu boleh mencapai kelajuan 50 km/j,” katanya.
Beliau berkata garis panduan itu apabila siap akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk diluluskan seterusnya diumumkan.
“Garis panduan itu sedang disiapkan dan kini berada di peringkat akhir. Kita sedang sesuaikan penggunaan mikromobiliti dengan perundangan yang ada di peringkat KPKT dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.
Pada 13 Jun lepas, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong memaklumkan PLANMalaysia akan memperincikan garis panduan berhubung larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu tidak lama lagi.
Wee berkata kerajaan tidak pernah melarang atau mengharamkan penggunaan kenderaan mikromobiliti di Malaysia jika ia digunakan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.
Sebelum ini, Wee mengumumkan kenderaan mikromobiliti adalah dilarang penggunaannya di atas jalan berkuat kuasa serta-merta.
Alias berkata penggunaan kenderaan mikromobiliti secara umumnya memberi manfaat baik kepada negara kerana ia mampu mengurangkan penggunaan karbon di bandar.
“Trend penggunaan mikromobiliti sebenarnya perlu kita disesuaikan untuk keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.