- Iklan -
Berita

Kerajaan Ismail Sabri fokus bantu rakyat, bukan PRU15

Setiap pemimpin politik seharusnya mengelakkan diri daripada terlibat dengan perebutan kuasa yang akhirnya hanya akan merugikan rakyat.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra pada 10 September. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra pada 10 September. Gambar: Bernama

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sentiasa menumpukan kepada usaha-usaha untuk membantu rakyat terutamanya ketika suasana ekonomi yang mencabar ketika ini berbanding perkara lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata sehingga hari ini, isu selain daripada kepentingan rakyat termasuklah mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak pernah disentuh oleh perdana menteri ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

“Dalam Kabinet sebenarnya lebih menumpukan dan membincangkan bagaimana kita nak membantu rakyat terutama dalam suasana ekonomi yang agak berat pada hari ini, macam mana kita nak berikan bantuan sama ada melalui subsidi, melalui program-program jualan murah, itu yang selalu kita fikirkan.

“Dan perdana menteri juga minta supaya penumpuan ke arah itu, dia tak sentuh lagi bab berkenaan dengan pilihan raya setakat ini,” katanya kepada Bernama.

Idris berkata pada ketika ini, setiap pemimpin politik seharusnya mengelakkan diri daripada terlibat dengan perebutan kuasa yang akhirnya hanya akan merugikan rakyat.

Sebaliknya, katanya kedudukan sebagai pemimpin seharusnya dipergunakan dengan sebaik mungkin untuk menjadi pemudah cara kepada kehidupan rakyat.

“Kita perlu ingat bahawasanya kita menjadi pemimpin politik ini sebahagian daripada ajaran agama. Sebab itu janganlah kita cemarkan politik ini sebab politik adalah tugas yang mulia. Dalam hal sebegini bila kita menjadi pemimpin, kita mesti jadi pemudah cara kepada rakyat. Kita fikir siang malam untuk rakyat.

“Apabila (berlaku) perebutan kuasa, rakyat yang menjadi mangsa. Negara kita (menerima) kesan daripada Covid-19, rakyat baru nak bernafas, tiba-tiba bila kita berebut macam ini akan mewujudkan suasana yang tidak kondusif yang seterusnya akan memberikan kesan kepada ekonomi,” katanya.

Justeru, Idris menggesa seluruh pimpinan politik di negara ini untuk mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik masing-masing.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.