Pendedahan mengenai usaha menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menerusi sokongan beberapa ahli Parlimen kluster mahkamah dari Umno boleh menjejaskan kepercayaan penyokong terhadap presiden PKR itu, kata penganalisis.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain, berkata kerjasama itu membuktikan Anwar mengenepikan beberapa prinsip PKR untuk berganding bahu dengan individu seperti Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak yang terpalit skandal rasuah.
Menurut Atory, tindakan tersebut juga menunjukkan bahawa ahli Parlimen Port Dickson itu seolah-olah terdesak untuk menjadi perdana menteri atau sekurang-kurangnya berada dalam “kelompok” kerajaan.
“Pastinya pendedahan itu mengejutkan terutama dalam kalangan akar umbi Umno kerana pada mulanya ia dirahsiakan dan hanya diketahui dalam kalangan pemimpin tertinggi,” katanya kepada MalaysiaNow.
“Pada pendapat saya, semestinya pemimpin tertinggi Umno sudah tahu berhubung usaha menaikkan Anwar sebagai perdana menteri, tetapi mungkin ia tidak dilaksanakan memandangkan ramai dalam kalangan mereka tidak bersetuju.”
Bagaimanapun, Atory berpendapat kerjasama antara Anwar dan pemimpin Umno mungkin tidak akan mendapat tentangan penuh dari PKR memandangkan beliau masih memiliki penyokong “fanatik” yang akan setuju dengan segala keputusan yang dibuat pengerusi Pakatan Harapan itu.
Pada Isnin, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan bahawa dirinya merupakan saksi hidup untuk membuktikan bahawa terdapat surat akuan berkanun yang ditandatangani oleh ahli Parlimen partinya sebagai sokongan terhadap Anwar menjadi perdana menteri.
Kenyataan itu sekali gus bercanggah dengan dasar “No Anwar” yang disepakati dalam perhimpunan Umno sebelum ini.
Malah, Tajuddin turut mendedahkan bahawa surat sokongan tersebut ditandatangani secara tergesa-gesa dan beliau akur dengan tindakan tersebut sebagai tanda menghormati Zahid sebagai presiden parti.
Pada Oktober 2020, MalaysiaNow mendedahkan Zahid dan Najib menulis surat kepada istana menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai perdana menteri.
Dalam surat bertarikh 11 Oktober ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong itu, mereka berdua dan “sejumlah ahli Parlimen Umno” mengatakan menyokong Anwar.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Kartini Aboo Talib berkata, krisis integriti Umno dan PKR tidak disifatkan sebagai satu perkara luar biasa.
Katanya, ia memandangkan kebanyakan pemimpin di kedua-dua parti itu adalah dari “benih” yang sama dan menerima asuhan serta orientasi politik yang sama.
“Tidak hairan apabila pendedahan Tajuddin menunjukkan Zahid menyokong Anwar dan Anwar juga maju jadi penunggang parti (meraih manfaat bersama),” katanya.
Bagi Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, pengundi PKR mungkin akan melihat situasi usaha sama itu sebagai taktikal “survival” parti daripada kepentingan individu.
Katanya, keputusan itu juga mungkin ditafsir sama seperti beberapa serpihan ahli PKR yang menyertai Perikatan Nasional sekali gus menggagalkan usaha Anwar menjadi perdana menteri dan membentuk kerajaan baru dengan sokongan daripada Umno.
“Ini lebih kepada memberikan kesedaran bahawa politik semakin dinamik dan perlu ada apa-apa penjajaran baru.
“Maka, pengurangan undi sukar berlaku dengan isu sedemikian. Begitu juga sokongan asas PKR dan konteks dalam kalangan parti dijangka tidak ada perubahan ketara,” katanya.