- Iklan -
Berita

MCMC luluskan penggabungan Celcom-Digi

Penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Intan Nuramina Mohd Yunus, 12, menggunakan telefon bimbit ibunya untuk mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) di Pangsapuri Taman Teknologi, Kajang. Pakej bantuan prabayar yang diumumkan KKMM hari ini bakal memberi manfaat kepada pelajar dan keluarga.
Intan Nuramina Mohd Yunus, 12, menggunakan telefon bimbit ibunya untuk mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) di Pangsapuri Taman Teknologi, Kajang. Pakej bantuan prabayar yang diumumkan KKMM hari ini bakal memberi manfaat kepada pelajar dan keluarga.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan notis tiada bantahan kepada cadangan penggabungan antara Digi.Com Bhd dan Celcom Axiata Bhd, melibatkan perniagaan Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Celcom (pemohon).

Dalam kenyataan hari ini, MCMC berkata Digi dan Celcom merupakan pengendali perkhidmatan mudah alih kedua dan ketiga terbesar pada masa ini, dan penggabungan ini akan menghasilkan pengendali perkhidmatan mudah alih yang terbesar di Malaysia.

“Oleh yang demikian, MCMC sudah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penggabungan ini,” katanya.

Pada 1 April, 2022, MCMC mengeluarkan pernyataan isu kepada pemohon, selaras dengan Garis Panduan Penggabungan dan Pengambilalihan bertarikh 17 Mei, 2019 untuk menangani kebimbangan bahawa penggabungan ini akan atau berkemungkinan mengurangkan persaingan dengan ketara bagi sesetengah pasaran komunikasi yang telah dikenal pasti MCMC.

Justeru, menurut MCMC, pemohon mengemukakan suatu aku janji yang mengandungi komitmen pemohon untuk mengatasi isu-isu persaingan yang telah diketengahkan oleh MCMC dalam pernyataan isu.

MCMC mempertimbangkan komitmen yang ditawarkan oleh pemohon dan berpuas hati bahawa ia akan mengurangkan dengan signifikan isu-isu persaingan yang akan atau mungkin timbul akibat penggabungan ini, katanya.

Pada 8 April, 2021, Axiata dan Telenor Group mengumumkan sedang dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.

Axiata Group Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia sebelum ini berkata, cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd bagi membentuk entiti baru dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022.

Salinan aku janji itu boleh dimuat turun melalui laman sesawang MCMC , https://mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/registers/Undertaki ng-Public-Version.pdf

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi