- Iklan -
Berita

Khuatir rumah diambil bekas suami, masa depan ibu tunggal getir

Meskipun ujian itu berat padanya, namun K Goomathi tidak kisah kerana bukan wang ringgit yang dipinta anak-anaknya, hanyalah kasih sayang dan perhatian seorang ibu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
K Goomathi dan dua anaknya, K Thiviyan (kanan), 13, dan K Daarshini, 18, di kediaman mereka di Sungai Petani, Kedah.
K Goomathi dan dua anaknya, K Thiviyan (kanan), 13, dan K Daarshini, 18, di kediaman mereka di Sungai Petani, Kedah.

Perceraian dengan bekas suaminya sejak 10 tahun lalu bukanlah sesuatu yang dipinta wanita itu.

Namun tiada apa yang boleh dilakukan K Goomathi bagi menyelamatkan rumah tangganya.

Kini dia yang berstatus ibu tunggal itu menjaga tiga anak, dua daripadanya merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Rutin hariannya dipenuhi dengan tugasan menjaga anak-anaknya, K Thiviyan yang menghidapi cerebral palsy dan K Daarshini, OKU lembam.

Kesibukan rutinnya tidak membolehkannya bekerja.

Dia menerima RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara anak-anaknya.

Goomathi turut menerima sumbangan secara berkala daripada jiran-jirannya berbentuk makanan dan bekalan asas.

Dia merawat sendiri anaknya, Thiviyan kerana tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di klinik.

“Thiviyan ini kaki dan tangan dia kejang. Pergerakan dia pun agak keras dan kepala tidak boleh nak menegak.

“Semua perkara pun kita kena tolong, daripada makan, tidur dan mandi, saya kena buatkan untuk dia,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow di kediamannya di Sungai Petani, Kedah.

Daarshini pula masih perlu belajar mengenal huruf walaupun sudah menginjak usia 18 tahun.

Dia turut diajar sedikit kemahiran seperti menanam pokok dan lain-lain .

“Daarshini kakak yang baik, dia yang tolong jaga adik. Kalau saya keluar beli barang dia yang tolong jaga, tolong kemas rumah atau apa-apa yang patut.

“Pukul 10 malam dia akan tidur sebab hendak ke sekolah esoknya,” katanya.

Seorang lagi anaknya sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej.

Meskipun ujian itu berat padanya, namun Goomathi tidak kisah kerana bukan wang ringgit yang dipinta anak-anaknya.

Menurut wanita itu, apa yang dimahukan anak-anaknya hanyalah kasih sayang dan perhatian seorang ibu.

Namun di sebalik kehidupannya dengan anak-anak itu, dia kini gusar akan masa depan dan nasib keluarga kecilnya itu.

Ini kerana, rumah yang didudukinya sekarang merupakan rumah bekas suami.

Mahkamah memutuskan Goomathi dan anak-anak boleh menduduki rumah tersebut namun suaminya berhak untuk menuntut semula rumah berkenaan.

“Tunggu masa sahaja (jika bekas suami inginkan rumah tersebut). Kalau dia minta, kena serah pada dia.

“Kami memang tidak ada tempat lain hendak dituju (jika diarah keluar), mungkin kena sewa rumah lain tapi duit JKM ini saya guna bukan untuk mereka berdua sahaja, tetapi untuk kakak mereka yang sedang belajar juga,” tambahnya.

Setakat ini bekas suaminya masih belum membuat tuntutan, tetapi pemikirannya tetap rungsing memikirkan keadaan itu yang boleh terjadi bila-bila masa.

Goomathi yang membesarkan anak-anak mereka seorang diri tanpa dibantu bekas suami.

Katanya, dia mensyukuri apa yang ada pada keluarganya hari ini walaupun hidupnya serba-serbi sederhana.

“Saya berterima kasih kepada Tuhan untuk segala makan minum kami. Kesihatan kami, susah dan senang, semuanya saya terima.

“Harapan saya tidak banyak, hanya mahu melihat anak saya sihat dan selamat. Makan cukup, pakaian cukup, dan tidak dibebani masalah.”