- Iklan -
Berita

Industri animasi tempatan bertambah rancak dengan ‘Robozeta’

Studio Red Circle kini sudah menyiapkan siri musim kedua dan sedang dalam perancangan untuk menjual slot tayangan di stesen tempatan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pasukan produksi Robozeta bergambar dengan figura aksi siri itu. Studio produksi juga mencari rakan kongsi untuk menghasilkan merchandise komersial 'Robozeta'.
Pasukan produksi Robozeta bergambar dengan figura aksi siri itu. Studio produksi juga mencari rakan kongsi untuk menghasilkan merchandise komersial 'Robozeta'.

Dunia animasi negara tidak perlu diperkenalkan lagi, memandangkan Malaysia merupakan pemacu utama industri itu di Asia Tenggara kini.

Dengan sejarah yang agak panjang, industri tersebut menunjukkan tahap matang di Malaysia apabila produk-produk animasi tempatan menembusi pasaran negara luar.

Animasi “Upin dan Ipin” umpamanya sudah lama menembusi negara-negara besar seperti Indonesia dan China.

Mutunya animasi di Malaysia jauh meninggalkan industri filem tempatan.

Namun dalam proses itu, beberapa siri tempatan yang dihasilkan hanya menjadi salinan kepada siri-siri tempatan yang dihasilkan oleh pihak lain sebelum itu.

Red Circle, sebuah studio di Kajang, Selangor hadir dengan siri animasi tersendiri, Robozeta.

Siri tersebut mengisahkan lima robot yang perlu menjaga sebuah bandar dan satu punca kuasa.

Bertemakan kebaikan melawan kejahatan (good versus evil), ia umpama siri Power Rangers versi Malaysia yang diubahsuai untuk tontonan kanak-kanak.

Setiap watak jahat hadir dengan moral dan pengajaran tersendiri untuk dipupuk ke dalam jiwa penonton.

Ketua Animator Red Circle Muhamad Hafiz Abd Samad berkata, idea animasi dibawa untuk proses pembentangan bersama Malaysia Digital Economy Corporatio pada 2016.

“Kita berjaya mendapat tempat pertama dalam sesi itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kemudian kita membangunkan satu video ‘teaser’ yang kemudian kami kembangkan menjadi 13 episod.”

Dalam tempoh setahun, studio berkenaan berjaya menyiapkan musim pertama.

Bahkan, siri animasi itu dibeli syarikat Media Corp dari Singapura dan ditayangkan di negara itu pada 2020.

Katanya, Red Circle memperuntukkan wang sendiri yang diperoleh syarikat daripada perniagaan teras mereka bagi menghasilkan siri itu.

“Kita ada minta geran pada 2017, namun jumlah yang diberi tidak mencukupi daripada apa yang kita mohon,” katanya.

Studio itu kini sudah menyiapkan siri musim kedua dan sedang dalam perancangan untuk menjual slot tayangan di stesen tempatan.

Sementara Pengarah Red Circle Dzahiruddin Ahmad Zabidi berkata, pihaknya optimis dapat menembus pasaran tempatan dan bersaing dengan nama-nama yang lebih dahulu bertempat.

“Di Malaysia, siri yang ada sekarang banyak menumpukan kepada kanak-kanak. Tiada lagi genre untuk golongan remaja dan dewasa.

“Bagi siri Robozeta, kami bawa genre superhero,” katanya.

Dzahiruddin berkata, kepelbagaian genre itu penting dan tidak wajar jika formula satu-satu siri animasi lain ditiru semula.

Katanya, bagi musim kedua, pihaknya merancang untuk mempekukuhkan data-data relevan sebelum mengeksport siri tersebut ke negara luar.

Manakala Hafiz berkata, usaha mempromosi siri animasi di laman media sosial turut menerima maklum balas positif, selain berjaya mengembangkan jumlah peminat.

Mereka juga sedang mencari rakan kongsi bagi menghasilkan cenderahti Robozeta dan pelbagai mainan kanak-kanak.

Bagi Dzahiruddin, penghasilan siri itu yang memasuki musim kedua membuktikan keupayaan anak tempatan dalam masa yang singkat dan tanpa menggunakan terlalu ramai tenaga kerja.

“Syarikat animasi di Malaysia tidak lestari, habis sahaja satu musim maka habislah syarikat.

“Kitaran bisnes animasi di Malaysia masih belum sihat walaupun penonton semakin bertambah,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.