- Iklan -
Berita

Lagi penumpang AirAsia X tampil tuntut bayaran balik

Lui Thiam Fah berkata, dia tidak menerima sebarang bentuk bayaran balik bagi 11 tiket penerbangan yang dibelinya pada tempoh antara 7 Jun hingga 14 Oktober, 2020.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Penumpang AirAsia X Lui Thiam Fah bercakap mengenai usahanya untuk mendapatkan bayaran balik bagi penerbangan yang dibatalkan di pejabatnya di Puchong.
Penumpang AirAsia X Lui Thiam Fah bercakap mengenai usahanya untuk mendapatkan bayaran balik bagi penerbangan yang dibatalkan di pejabatnya di Puchong.

Usaha mendapatkan semula bayaran balik tiket penerbangan AirAsia X yang dibatalkan sejak 2020 terus rancak apabila penumpang syarikat penerbangan itu terus tampil menyuarakan rasa tidak puas hati secara terbuka.

Lui Thiam Fah berkata, dia tidak menerima sebarang bentuk bayaran balik bagi 11 tiket penerbangan yang dibelinya pada tempoh antara 7 Jun hingga 14 Oktober, 2020.

Menurut Lui yang merupakan seorang pelanggan setia, dia sering menggunakan perkhidmatan AirAsia X untuk berjumpa dengan keluarganya yang menetap di Sydney, Australia, malah, syarikat penerbangan tambang murah itu sentiasa menjadi pilihan pertama sekiranya dia ingin mengembara ke luar negara.

“Sebelum isu bayaran balik ini berlaku, saya pasti akan tempah tiket penerbangan bersama AirAsia dua kali seminggu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Boleh katakan saya sudah terbang bersama AirAsia X hampir ke semua destinasi mereka. Ini menjadikan saya sebagai pelanggan setia.”

Namun begitu, Lui berasa sangat kecewa apabila “kesetiaannya” menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan itu seolah-olah tidak dihargai apabila dia tergolong antara penumpang yang masih menunggu bayaran balik sejak 2020.

Berdasarkan dokumen ditunjukkan Lui, semua tiket penerbangan yang dibelinya dianggarkan berjumlah RM2,500 – jumlah yang dianggarkan sedikit baginya.

Lui menjelaskan, tujuan sebenar dia meluahkan rasa tidak puas hati adalah kerana isu bayaran balik ini menyentuh soal integriti dan mencerminkan layanan syarikat tersebut terhadap pelanggannya.

Malah, Lui turut menyifatkan sembang talian AVA AirAsia sebagai tidak berguna apabila ia tidak membantu dia dan penumpang-penumpang lain menyelesaikan isu yang mereka hadapi.

“Bukannya saya tiada duit. Tetapi saya merasakan hak saya seperti diabaikan.

“Saya akan terima apa saja bayaran balik yang ditawarkan termasuk kredit, tetapi saya masih tidak menerima apa-apa,” katanya.

Baru-baru ini, penumpang-penumpang AirAsia X menggesa pihak syarikat itu tampil menjelaskan mengapa sukar untuk memulangkan semula bayaran balik dalam bentuk tunai.

Malah, mereka turut mengakui bingung dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail pada 15 Jun yang menjelaskan bahawa syarikat itu tidak boleh memberi bayaran balik kepada penumpang disebabkan undang-undang.

Pada sidang media itu, Benyamin menjelaskan bahawa AirAsia X sudah melalui proses penstrukturan di mahkamah dan undang-undang menyatakan mereka tidak boleh berikan bayaran balik tunai kepada sesiapa, termasuk pemiutang.

Dalam pada itu, Lui mengakui sudah tawar hati dengan AirAsia X dan kini dia sering mengembara ke luar negara termasuk melawat keluarganya di Sydney menggunakan perkhidmatan penerbangan lain.

“Sebabkan isu ini, saya sudah serik. Justeru, saya kini memilih terbang bersama Scoot Airline atau Singapore Airlines yang mana saya perlu singgah ke Singapura sebelum dibawa ke Sydney.

“Walaupun seperti melecehkan, tetapi saya lagi rela melalui proses itu,” katanya.

Tambah Lui, dia hanya akan kembali terbang bersama AirAsia X pada masa hadapan sekiranya pihak syarikat itu mengotakan janji dan tampil meminta maaf secara umum kepada orang ramai terutama penumpang mereka disebabkan situasi ini.

Sementara itu, pemeriksaan MalaysiaNow di sosial media mendapati beberapa penumpang AirAsia X yang menetap di Australia Barat berjaya mendapatkan semula bayaran balik tiket penerbangan mereka.

Beberapa posting yang dimuat naik menjelaskan mereka memfailkan aduan menerusi Western Australia (WA) Consumer Protection.

Bagaimanapun, WA Consumer Protection ketika dihubungi MalaysiaNow, enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan tersebut.

“Consumer Protection di Australia Barat mengambil maklum mengenai tuntutan berkaitan bayaran balik AirAsia di Facebook.

“Dakwaan ini bukan daripada pihak kami dan kami akan terus meneliti perkara ini lebih lanjut sambil terus berhubung dengan syarikat terbabit,” katanya sambil menambah mereka tidak boleh memberi komen lanjut berhubung perkara itu.

MalaysiaNow juga sedang menunggu maklum balas daripada pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan AirAsia berhubung kenyataan yang dibuat oleh CEO AirAsia X.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.