Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menyatakan rasa tidak senang hati terhadap gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu, mengatakan perbalahan antara kaum itu dan pemimpin politik boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup semua kaum serta kestabilan politik negara.
Dalam satu kenyataan, baginda berkata tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara.
“Bagaimanapun, beta merasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik dapat segera dihentikan,” katanya.
“Ianya adalah bagi menjamin agar kepentingan masyarakat Melayu dapat dipelihara tanpa mengenepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di negara ini.”
Sultan Sharafuddin bertitah pemimpin politik Melayu harus sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara bergantung kepada pentadbiran yang stabil.
“Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu dan sekaligus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu. “
Baginda turut menggesa pemimpin politik Melayu bekerjasama dengan parti politik bukan Melayu bagi memastikan pembangunan negara diutamakan demi kesejahteraan semua kaum.
“Oleh itu beta mengajak semua pemimpin politik dan rakyat di negara ini kepada kebaikan dan mengamalkan budaya sihat yang berpandukan kepada sikap toleransi dan berprasangka baik bagi mencapai aspirasi perpaduan hidup bersama demi kemakmuran negara.”
Sultan Sharafuddin turut menyeru agar rakyat Malaysia bersama-sama membangunkan sebuah masyarakat yang gagah, bebas rasuah, bermaruah diri dan berwibawa dengan menghormati nilai-nilai perpaduan dan kemanusiaan.