- Iklan -
Berita

334 mangsa banjir dipindahkan di Baling

85 rumah dilaporkan terjejas ekoran bencana banjir yang berlaku semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk kampung yang dipindahkan dari rumahnya di Baling, Kedah.
Seorang penduduk kampung yang dipindahkan dari rumahnya di Baling, Kedah.

Seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di Baling, Kedah dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 2 pagi tadi.

Ketua Polis Baling Shamsudin Mamat berkata setakat ini, sebanyak 85 rumah dilaporkan terjejas ekoran bencana yang berlaku kira-kira 4 petang semalam itu.

“Selain itu, seramai 1,008 pelajar di Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah yang turut terkesan dalam bencana itu berada di sekolah tersebut ketika kejadian dan berada dalam keadaan baik.

“Keadaan air di sekolah itu juga telah surut cuma keadaan kawasan sekitar sekolah yang masih berlumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai awal pagi ini.

Beliau berkata operasi pemindahan penduduk yang terjejas berjalan lancar dengan penglibatan pelbagai agensi selain penduduk kampung yang turut membantu.

Selain itu katanya, semua keperluan termasuk makanan, selimut dan bantal turut disediakan sebaik mungkin oleh agensi berkaitan dan pihak lain yang menghulurkan bantuan di pusat-pusat pemindahan.

Katanya, mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri yang akan dipengerusikan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor akan diadakan bagi menentukan tindakan lanjut dalam membantu mangsa yang terjejas selain usaha menggerakkan operasi mencari dan menyelamat.

“Kita akan kemas kini mengenai kedudukan mangsa-mangsa, sebab ramai mangsa yang minta dengan kita untuk mereka balik ke rumah kerana air sudah surut dan mereka mahu membersihkan rumah dan tengok harta benda mereka.

“Tapi kita akan lihat dulu dari segi keselamatan sebelum saya bagi keputusan untuk benarkan mereka balik. Sebab mengikut ramalan cuaca esok (hari ini) juga akan hujan. Jadi kita akan bincang dalam mesyuarat MKN negeri dan akan putuskan selepas itu,” katanya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.