Perbuatan mengaitkan individu yang terpalit dengan isu rasuah atau sudah disabitkan bersalah dengan badut, disifatkan sebagai perbuatan yang menghina kerjaya tersebut, luah pengasas Awang The Clown, Mohd Fadly Abu Hasan.
Fadly yang mula membangunkan perniagaan badut sejak 12 tahun lalu, mengakui tersinggung apabila orang ramai sering melukis gambar badut ke atas potret individu termasuk ahli politik yang berdepan tuduhan jenayah.
Katanya, perbuatan itu seperti menjadikan badut sebagai simbol negatif dan terus menyebabkan kerjaya itu terus dipandang hina dalam kalangan masyarakat.
“Jika nak kaitkan badut dengan sesuatu perkara yang kelakar atau mengarut saya masih boleh terima, tetapi jangan pula samakan kami dengan individu yang terpalit dengan isu rasuah atau jenayah,” katanya kepada MalaysiaNow.
Semakan MalaysiaNow mendapati, figura badut sering dikaitkan dengan ahli politik dan pemimpin tanah air apabila gambar mereka disiarkan sebagai tanda kecaman oleh pengguna media sosial.
Figura itu biasanya akan disamakan dengan pemimpin atau individu memegang jawatan penting ketika menyuarakan pandangan yang disifatkan sebagai mengarut oleh masyarakat.
Perbuatan ini mula menarik perhatian ramai apabila pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza melukis gambar bekas perdana menteri, Najib Razak dan memuat naik lukisan tersebut di media sosial.
Lukisan itu kemudiannya disebarkan secara meluas apabila orang ramai terus mempersoalkan pentadbiran pimpinan Najib ketika itu terutamanya apabila isu 1MDB menjadi semakin hangat dibincangkan sejak pendedahan akhbar berpangkalan Amerika Syarikat The Wall Street Journal.
Perbuatan melukis gambar badut terhadap individu lain semakin meluas dilakukan, malah pemimpin Pakatan Harapan juga tidak terkecuali apabila mereka pula dikaitkan dengan figura tersebut selepas mengambil alih kerajaan pada 2018.
Mengulas mengenai perbuatan ini, Fadly berpandangan bahawa ia hanya dilakukan individu yang tidak mengenali kerjaya badut.
Malah, beliau menegaskan bahawa perniagaan badut merupakan kerjaya yang mulia kerana ia masih tergolong sebagai perniagaan yang halal yang bertujuan menceriakan orang ramai.
“Janganlah samakan kami dengan mereka yang terpalit dengan isu rasuah atau jenayah kerana kami peroleh pendapatan dengan cara halal.
“Kejayaan kami bergantung kepada kreativiti yang memerlukan kemahiran tertentu,” katanya.
Tambah Fadly yang juga merupakan salah seorang ahli Persatuan Badut Malaysia, perkara ini bagaimanapun tidak pernah diluahkan oleh badut lain secara terbuka.
Namum begitu, Fadly merasakan perbuatan menyamakan badut dengan figura “bermasalah” ini sebenarnya menambah “penghinaan” kepada kerjaya seorang badut yang sudah dipandang remeh oleh masyarakat.
“Pandangan masyarakat yang selalu samakan sesuatu buruk, mengarut, bodoh dan tidak beretika dengan seorang badut adalah lazim.
“Sehingga ke saat ini saya masih lagi belum puas untuk menukar cara fikiran masyarakat dengan tanggapan negatif terhadap perkataan badut,” katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.