Krisis kekurangan tenaga pekerja yang berlaku di Malaysia terutamanya pasca pandemik menimbulkan persoalan mengenai automasi sebagai satu penyelesaian kepada tenaga kerja manual selain kebergantungan kepada pekerja asing yang lebih murah.
Media sebelum ini melaporkan sektor ekonomi kerugian berbilion ringgit kerana kekurangan pekerja apabila terpaksa menolak pesanan dari pihak luar selain hasil sawit tidak dikutip.
Ia berbalik kepada model ekonomi yang memacu Malaysia menjadi antara negara paling membangun di rantau Asia Tenggara apabila tenaga buruh yang murah menjadi tarikan kepada syarikat asing seperti Jepun dan Amerika Syarikat untuk menghasilkan produk masing-masing di sini.
Pengarah Makmal Penyelidikan Elektromobiliti Inovatif Universiti Teknologi Mara, Amalina Amir berkata negara sebenarnya memperuntukkan jutaan ringgit untuk teknologi automasi dengan kerjasama Jepun.
“Tetapi tiada syarikat yang mempunyai teknologi akan memindahkannya kepada syarikat atau negara yang boleh jadi pesaingnya,” katanya kepada MalaysiaNow.
Katanya, paten teknologi dan proses automasi yang didaftarkan pihak lain bakal menjadi cabaran untuk Malaysia bergerak ke arah memiliki teknologi sendiri.
Pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk revolusi industri 4.0 menjadikannya sukar untuk Malaysia menawarkan sistem automasi kepada syarikat-syarikat pembuatan global.
Ini kerana, negara tidak mempunyai kepakaran automasi sedia ada.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia Soh Thian Lai berkata kebanyakan industri sudah mencapai tahap 40% automasi, berdasarkan satu kaji selidik yang dijalankan persatuan itu dengan Institut Kajian Ekonomi Malaysia.
Ia membabitkan aktiviti operasi seperti pemasangan, pemeriksaan dan ujian, pengurusan bahan, pempakejan, kawalan proses, mesin, pengurusan maklumat dan gudang.
“Tahap automasi berbeza antara satu syarikat dengan yang lain, bergantung kepada sifat industri dan produk, memandangkan sesetengah proses masih memerlukan tugasan manual berbanding automasi ekoran jumlah kecil, keperluan pengubahsuaian, dan perbezaan saiz bahan mentah.
“Automasi dalam proses-proses ini mungkin mengakibatkan kos yang lebih tinggi dan ketidakcekapan,” katanya.
Namun Soh berkata, Malaysia mempunyai banyak ruang untuk mengingkatkan automasi dalam banyak proses lain.
Ia bukan semata-mata bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh yang tidak mempunyai kemahiran atau berkemahiran rendah, bahkan mengingkatkan produktiviti menerusi kualiti yang konsisten dan kadar pengeluaran yang lebih tinggi.
Sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, Malaysia juga harus memanfaatkan teknologi untuk sektor itu.
Perladangan juga antara sektor yang bergantung kepada tenaga buruh murah.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, buat masa ini, automasi perladangan sawit masih baru dan kebanyakan teknologi masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan.
“Teknologi automasi di sektor pemprosesan sawit seperti di kilang sawit, kilang penapisan dan sebagainya, sudah mencapai tahap matang.
“Walau bagaimanapun, ruang penambahbaikan sentiasa ada seiring dengan kemajuan teknologi yang dinamik,” katanya.
Menurutnya, teknologi automasi sedia ada mampu untuk ditambah baik untuk penggunaan dalam ladang sawit dan merangkumi semua aktiviti perladangan, termasuklah penuaian buah tandan segar.
“Beberapa aplikasi robotik didapati sesuai untuk dimajukan seperti penggunaan lengan robot, sistem haptik, penderia dan sebagainya.
“Teknologi ini boleh digabungkan dengan teknologi lain seperti jentera tanpa pemandu (unmanned ground vehicle), dron dan sebagainya untuk adaptasi automasi penuaian sawit.
“Namun beberapa sistem sokongan perlu tersedia untuk memastikan sistem automasi berfungsi secara berkesan,” katanya.
Sementara itu, felo Akademi Sains Malaysia Ahmad Ibrahim berkata automasi banyak memerlukan infrastruktur digital, seperti teknologi 5G.
“Kita masih menghadapi masalah membangunkan 5G selain harga jalur lebar antara termahal dalam dunia.
“Usaha mesti dilakukan bagi mengurangkan lagi kos,” katanya.
Soh berkata, automasi memerlukan sejumlah pelaburan besar dan jangka panjang, mengikut sumber dan kapasiti satu-satu firma.
Katanya, komponen lain yang diperlukan termasuk pengetahuan (know-how), sumber manusia, peralatan, analisis data.
“Perlu ada sokongan berterusan untuk aktiviti automasi dan naik taraf dalam kesemua komponen itu, terutama untuk industri kecil dan sederhana memandangkan mereka perlu usaha dan pelaburan yang lebih besar untuk automasi dan operasi kilang,” katanya.
Amalina pula berpendapat tindakan kerajaan menyediakan pelbagai institusi latihan teknikal dan vokasional (TVET) merupakan langkah yang betul untuk memajukan automasi di Malaysia.
Ini kerana negara perlu mencipta dan menghasilkan produk sendiri untuk pasaran global.
“Bagi automasi, ikut langkah syarikat-syarikat berteknologi tinggi yang menggunakan KUKA Robotic Corporation sebagai penyedia barisan pengeluaran automatik, untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan penghasilan.
“Malaysia boleh menggunakan syarikat-syarikat seperti KUKA untuk penghasilan di Malaysia, dan jimatkan jutaan ringgit yang dihabiskan untuk penyelidikan dan kajian yang tidak ke mana-mana,” katanya.