- Iklan -
Berita

PM mahu semangat ‘keluarga dunia’, gagasan Asean terus kukuh hadapi cabaran global

Menurut Ismail, cabaran global yang berlaku ketika ini tidak boleh diatasi secara bersendirian atau secara 'silo'.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyarankan komuniti antarabangsa supaya bekerjasama dengan mengamalkan semangat “keluarga dunia” dalam menghadapi cabaran global terutamanya ketika pascapandemik.

Ismail berkata pandemik Covid-19 telah mengajar bahawa cabaran global yang berlaku ketika ini tidak boleh diatasi secara bersendirian atau secara “silo”.

Beliau berkata ekonomi dan politik dunia kini berdepan dengan situasi pascapandemik yang kompleks selain terdapatnya persaingan yang semakin sengit antara kuasa-kuasa besar dunia.

“Di Eropah misalnya kita menyaksikan konflik yang memberikan kesan amat dahsyat, bukan hanya kepada penduduk negara-negara terlibat tetapi tempiasnya turut dirasai di seluruh dunia.

“Berikutan itu penting sekali bagi komuniti antarabangsa melipatgandakan persediaan berdepan dengan ketidaktentuan serta bekerjasama ke arah masa hadapan yang lebih aman, progresif, inklusif dan makmur,” katanya ketika merasmikan Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-35 menerusi rakaman video hari ini.

Mengambil contoh di Malaysia, perdana menteri berkata semangat “Keluarga Malaysia” yang diamalkan ketika ini untuk menjalin kerjasama yang inklusif, mementingkan kebersamaan serta mengutamakan golongan yang paling memerlukan, ternyata dapat membuka ruang ke arah mencapai jalan penyelesaian yang lebih baik.

Beliau berkata permasalahan global yang menjadi semakin kompleks dan sukar untuk ditangani seharusnya menjadi ingatan kepada penggubal dasar tentang pentingnya untuk menguruskan segera cabaran yang boleh mengakibatkan kesan buruk kepada generasi akan datang.

Menyentuh mengenai Asean, Ismail berkata Asean sentiasa berpegang teguh dengan prinsip asasnya yang mengutamakan kepaksian Asean (Asean centrality) dalam menghadapi cabaran lalu dan yang mendatang.

Menurut Ismail, prinsip-prinsip asas Asean seperti saling bekerjasama dan menghormati kedaulatan negara serta semangat membimbing negara-negara anggota ke arah keamanan dan kemakmuran serantau menjadi resipi kejayaan di rantau ini.

“Sehubungan itu, Asean muncul sebagai gagasan yang dihormati dan dipercayai bagi mekanisme pelbagai hala serantau. Namun begitu, kepaksian rantau ini akan terus diuji dengan tekanan dalaman dan luaran.

“Untuk itu Asean juga memerlukan kombinasi mekanisme-mekanisme berbentuk dua hala, pelbagai hala, bahkan minilateral dan juga kreativiti serta sokongan badan-badan bukan kerajaan untuk berjaya,” katanya.

Ismail berkata persaingan antara kuasa-kuasa besar juga tidak seharusnya memudaratkan, malah rantau Asean perlu bersedia menghadapi persaingan kuasa-kuasa besar dengan bijak dan libat urus secara proaktif dengan kuasa-kuasa besar akan memberikan manfaat kepada rantau ini.

“Keutuhan Asean akan memberikan kesan positif kepada kita, dan disebabkan itu ia perlu terus kukuh dan produktif serta kekal menjadi paksi kepada libat urus serantau ke arah membentuk norma-norma baru di rantau ini,” katanya.

Sementara itu beliau berkata kepentingan China di rantau ini tidak boleh dinafikan dan sejak 2009 negara itu kekal menjadi rakan dagang utama Asean.

“Pada 2020, Asean mengatasi Kesatuan Eropah sebagai rakan dagang utama China. Melihat kepada ekonomi dan kedudukan strategik China, Asean berharap dapat mengekalkan hubungan yang positif dan stabil dengan Beijing,” katanya.

Dalam masa sama, menurut perdana menteri Asean juga harus terus memperkemaskan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Amerika Syarikat berdasarkan rasa saling hormat-menghormati dan semangat setiakawan yang tinggi.

“Amerika Syarikat, China dan Asia Tenggara harus memastikan semangat yang mengikat hubungan dua hala dan pelbagai hala dipelihara serta diperkukuhkan berdasarkan kepada pematuhan undang-undang antarabangsa yang telah lama wujud.

“Walaupun kita berdepan dengan cabaran yang hebat, kita mesti terus cekal dan tabah serta sama-sama mencari jalan penyelesaian untuk menikmati masa depan yang lebih makmur, lestari dan saksama,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.