Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini berkata parti itu masih berpegang dengan persetujuan dalam kalangan parti-parti Perikatan Nasional (PN) bahwa kerajaan yang ditubuhkan bersama tidak memerlukan jawatan timbalan perdana menteri.
Menurut Hadi, perkara itu ada dibincangkan dalam PN namun tiada sebarang keputusan dibuat.
“Kita ada bincang, namun tidak ada keputusan (mengenai pelantikan timbalan perdana menteri).
“Kita masih lagi sedang selesaikan masalah rakyat, kita kekal tak ada TPM,” katanya ketika menjawab soalan wartawan di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.
Isu pelantikan jawatan timbalan perdana menteri timbul baru-baru ini selepas Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata perkara itu dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Muhyiddin, pertemuan tersebut turut membincangkan isu lantikan jawatan yang termaktub dalam perjanjian antara PN dan perdana menteri.
Ketika ditanya mengenai penggunaan logo PN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Hadi berkata perbincangan ada dibuat untuk mengubah simbol bendera bagi menghadapi PRU15.
“Simbol kita bincang dalam parti nak buat satu simbol yang baru, yang sesuai.
“Kita akan bincang. Bukan bendera dulu. Bendera sendiri masih dalam perbincangan.”
Hadi turut menambah tarikh pilihan raya masih belum ditetapkan dan beliau difahamkan ia akan diadakan bergantung situasi ekonomi global ketika ini.
“Sehingga hari ini kita masih berpegang kepada habis tempoh.
“Tetapi keadaan terdesak boleh buat bila bila masa. Lepas bajet. Bentang bajet dulu.”