Seorang peguam Malaysia mengatakan Singapura "dengan secara bahaya menggunakan kuasa lebih dari wilayah bidang kuasanya terhadap warganegara Malaysia" selepas beliau ditahan ketika tiba di negara itu minggu ini, di mana beliau disoal siasat selama beberapa jam oleh polis berhubung kenyataannya yang dikeluarkan di Malaysia.
Zaid Malek, yang merupakan aktivis kumpulan hak asasi Malaysia Lawyers for Liberty (LFL) melakukan perjalanan ke Singapura bagi membantu banduan bilik akhir Kalwant Singh dalam permohonannya untuk mendapatkan perintah penangguhan hukuman mati, yang tetap dijalankan pagi semalam.
Zaid berkata beliau berdepan "intimidasi dan gangguan yang sudah dirancang" oleh pihak berkuasa Singapura, termasuk dua sesi soal siasat dengan polis, dan diberi amaran supaya tidak meninggalkan negara itu sehingga siasatan terhadapnya selesai.
“Secara keseluruhannya, saya ditahan kira-kira empat jam di lapangan terbang, dan tiga jam setengah disoal siasat di kompleks polis.
"Akibat siasatan polis terhadap saya dari 4 hingga 6 Julai 2022, saya dihalang dalam usaha membantu dan menasihati keluarga Kalwant Singh semasa beberapa hari sebelum perbicaraan mahkamah dan pelaksanaan hukumannya," kata Zaid dalam satu kenyataan selepas kembali ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata siasatan yang dijalankan ke atasnya adalah berhubung kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak LFL di Malaysia mengenai nasib dua banduan warga Malaysia di Singapura, Gobi Avedian dan Datchinamurty Katiah, di mana saman mereka ditolak mahkamah.
Zaid berkata beliau dituduh menghina mahkamah, satu kesalahan yang boleh dihukum penjara tiga tahun dan denda sebanyak S$100,000.
"Saya disoal siasat selama dua jam setengah, di mana soalan terperinci ditanya mengenai organisasi dan butiran berkait Lawyers for Liberty," tambahnya.
"Penahanan dan soal siasat terhadap saya adalah intimidasi dan gangguan yang dirancang pihak berkuasa Singapura terhadap saya berikutan kerja-kerja yang saya lakukan dalam mewakili banduan bilik akhir Malaysia dan bersuara menentang ketidakadilan melibatkan tahanan Malaysia oleh rejim hukuman mati Singapura.
“Tindakan pihak berkuasa ke atas saya menghalang saya sebagai peguam untuk melaksanakan tugas dengan baik mewakili anak guam saya.”
"Perkara serius yang terjadi ialah saya ditahan dan disiasat berhubung kenyataan yang dikeluarkan di Malaysia, bukannya di Singapura. Dengan bertindak demikian, pihak berkuasa Singapura kini dengan secara bahaya menggunakan kuasa lebih dari wilayah bidang kuasanya ke atas warga Malaysia yang membuat kenyataan di Malaysia," katanya.
Dalam sebuah maklum balas berhubung perkara itu, peguam hak asasi Singapura terkemuka M Ravi menyelar tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu perkara yang "memalukan".
“Majlis Peguam Malaysia harus persoalkan intimidasi yang dilakukan ini,” katanya.
Pihak berkuasa Singapura dilihat menyasarkan beberapa peguam di negara itu berhubung peranan mereka dalam usaha membela banduan bilik akhir selain menjalankan kempen supaya hukuman mati dimansuhkan di negara itu.
Singapura juga menerima kritikan hebat masyarakat antarabangsa berhubung jumlah pelaksanaan hukuman mati yang tinggi terhadap pengedar dadah.
Pengkritik berkata mereka yang dihukum mati oleh kerajaan kebanyakannya adalah daripada golongan keldai dadah yang diupah oleh dalang utama yang bebas dan terlepas daripada hukuman.