- Iklan -
Berita

Varian Omicron BA.5 dijangka jadi punca kes Covid meningkat, kata KJ

Menteri kesihatan berkata varian BA.5 adalah sublienage utama yang memberi kesan kepada peningkatan kes di peringkat global.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang yang tiba di KLIA, Sepang menjalani ujian saringan Covid-19.
Penumpang yang tiba di KLIA, Sepang menjalani ujian saringan Covid-19.

Kes varian Omicron sublineage BA.5 sudah berada di Malaysia dan berkemungkinan merebak luas, sekali gus mengakibatkan peningkatan kes Covid-19, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sehingga 30 Jun lepas, 13 kes sublineage Omicron dipantau rapi, iaitu enam kes BA.2.12.1; lima kes BA.5; serta dua kes BA.5.2, dan semua kes ini didapati positif antara bulan Mei dan Jun lepas.

"Tiada kes sublineage Omicron BA.4 yang direkodkan setakat ini. Kalau lihat dari segi epidemiologi di negara-negara lain, BA.5 adalah sublineage utama yang memberi kesan kepada peningkatan kes di peringkat global dan kita menjangkakan BA.5 akan terus meningkatkan lagi jumlah kes harian di Malaysia. 

"Omicron BA.5 adalah versi virus Covid-19 yang paling mudah merebak setakat ini (berbanding varian Omicron sebelumnya iaitu BA.1 dan BA.2) tetapi ia juga mempunyai ciri untuk menjangkiti mereka yang sudah dijangkiti dengan Omicron BA.1 dan BA.2," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata situasi ini juga mengakibatkan peningkatan kemasukan ke hospital di negara-negara seperti Singapura, Portugal, United Kingdom dan lain-lain.

Khairy bagaimanapun berkata maklumat dari Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan individu yang telah melengkapkan vaksinasi dos primer dan menerima dua dos penggalak, terutamanya dalam kumpulan umur 60 dan ke atas, mempunyai kadar kematian yang lebih rendah berbanding mereka yang hanya mempunyai satu dos penggalak.

Mengenai jangkaan tempoh puncak Omicron BA.5, beliau berkata KKM menjangkakan kes akan meningkat dalam tempoh satu atau dua bulan atau maksimum tiga bulan berdasarkan pengalaman menghadapi gelombang varian Omicron sebelum ini.

Ditanya mengenai keterukan varian Omicron sublineage BA.5 dan BA.4 berbanding BA.1 dan BA.2, Khairy berkata buat masa ini, KKM tidak melihat sebarang perubahan keterukan kes bagi sublineage BA.5 dan BA.4.

"Saya dimaklumkan oleh pakar penyakit berjangkit, kemungkinan besar keterukan kes BA.5 ini tidak lebih teruk daripada gelombang Omicron yang asal. Kita jangka keterukannya lebih kurang sama dengan varian Omicron yang awal,” katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.