- Iklan -
Berita

Aliran trafik di lebuh raya perlahan sejak pagi

Jurucakap LLM ketika dihubungi berkata peningkatan kenderaan di lebuh raya bermula sejak 6 pagi dijangka berlarutan sehingga tengah malam.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara aliran trafik perlahan di lebuh raya menuju ke Pantai Timur susulan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung menjelang sambutan Aidiladha yang akan disambut oleh umat Islam esok ketika tinjauan aliran trafik hari ini. Gambar: Bernama
Pemandangan udara aliran trafik perlahan di lebuh raya menuju ke Pantai Timur susulan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung menjelang sambutan Aidiladha yang akan disambut oleh umat Islam esok ketika tinjauan aliran trafik hari ini. Gambar: Bernama

Aliran trafik di lebuh raya utama dari ibu kota menghala ke utara, timur dan selatan negara dilaporkan tinggi sejak pagi ini susulan orang ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha esok.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi berkata peningkatan kenderaan di lebuh raya bermula sejak 6 pagi dijangka berlarutan sehingga tengah malam.

Menurutnya pihak lebuh raya juga menempatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan polis bantuan di plaza tol yang dikenal pasti kawasan “hotspot” berlaku kesesakan. 

"Anggota Rela ditempatkan bagi membantu pengguna tol sekiranya kad mengalami masalah manakala polis bantuan akan menggunakan motosikal untuk meninjau lalu lintas yang sesak di hadapan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Sementara itu, LLM melaporkan aliran trafik perlahan ke arah Pantai Timur sebelum dan selepas Plaza Tol Gombak menuju ke Bukit Tinggi.

Di Lebuhraya Pantai Timur, aliran trafik perlahan sejauh 5.3 kilometer dari Lancang ke Temerloh.

Trafik juga perlahan di Lebuhraya PLUS arah utara dari Sungai Dua ke Plaza Tol Sungai Dua dan dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang ke Sungai Buaya.

Arah selatan pula, trafik perlahan dari Putra Mahkota ke R&R Seremban, Senawang ke Pedas Linggi serta Bukit Gambir ke Pagoh.

Selain itu, trafik di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) turut bergerak perlahan dari Bandar Serenia ke Nilai. 

Kenderaan juga dilaporkan bergerak perlahan di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) selepas Tuas, Singapura ke Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor.

Tinjauan Bernama di tiga plaza tol iaitu di Gombak, Sungai Besi dan Jalan Duta mendapati berlaku pertambahan kenderaan. 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi