- Iklan -
Berita

Universiti Singapura terkejut pelajar protes waktu majlis konvokesyen

NUS memuat naik rakaman majlis konvokesyen versi potongan saat Luke Levy berada di atas pentas.

Our Regional Correspondent
3 minit bacaan
Kongsi
Nota bantahan Luke Levy dikaburkan dalam gambar rasmi ketika menerima skrol ijazahnya di majlis konvokesyen.
Nota bantahan Luke Levy dikaburkan dalam gambar rasmi ketika menerima skrol ijazahnya di majlis konvokesyen.

Universiti terkemuka Singapura terpaksa memotong sebahagian rakaman majlis konvokesyen yang disiarkan secara langsung, selepas seorang pelajarnya mengadakan protes sewaktu menerima ijazah di atas pentas di mana dia menuduh kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian banduan yang digantung sampai mati di republik itu.

Pada 6 Julai, pelajar lulusan Sarjana Muda Sains Sosial Universiti Nasional Singapura Luke Levy, mengangkat sehelai nota berbunyi: “Mansuhkan hukuman mati. Katakan tidak untuk pelaksanaan hukum bunuh oleh kerajaan. Tamatkan kemiskinan, bukan kehidupan. Anda bertanggungjawab atas nyawa (banduan),” ketika menerima skrol ijazahnya.

“(Bantahan) itu dilakukan ketika Kalwant Singh membuat rayuan saat akhir di mahkamah sebelum pelaksanaan hukuman matinya. Saya rasa tidak selesa dengan keraian yang dijalankan institusi kerajaan yang bakal jalankan hukuman bunuh terhadap dua orang banduan pada esoknya," tulis Luke mengenang tindakan protesnya di atas pentas di mana dia dirakam secara langsung, namun kemudiannya rakaman kejadian itu ditapis pihak universiti.

Protes yang dilakukan Luke jarang terjadi di Singapura, di mana rejim kerajaan PAP dilihat kurang bertoleransi terhadap pandangan berbeza daripada dasar-dasar pentadbirannya.

Kalwant yang merupakan banduan bilik akhir warga Malaysia berusia 31 tahun dari Cameron Highlands, Pahang, dihukum mati pada 7 Julai bersama seorang lagi warga Singapura Norasharee Gous, sehari selepas mahkamah Singapura menolak rayuan akhirnya untuk menangguhkan pelaksanaan hukumannya.

Rakaman tunjuk perasaan dilakukan Luke kemudiannya ditapis pihak NUS, dengan memadam rakaman siaran langsung majlis konvokesyen dan memuat naik semula rakaman berdurasi dua jam dengan versi potongan ketika dia berada di atas pentas - satu tindakan yang disifatkan Luke sebagai "potongan rakaman paling jelas di dunia".

(Versi video yang dipotong boleh dilihat pada minit 1:14:54, boleh dilihat di sini.) 

WhatsApp Image 2022-07-11 at 5.12.17 PM

Bukan setakat itu, pihak universiti malahan pergi lebih jauh dengan membuat suntingan terhadap gambar graduasinya, di mana versi suntingan mengaburkan nota bantahan yang diangkatnya ketika menerima skrol.

“Bagaimanapun, anda masih boleh baca beberapa perkataan, syukurlah mereka tidak buat suntingan dengan baik," katanya sinis.

"NUS (dan lain-lain) berusaha untuk potong nota itu. Untuk padam mesej (yang saya sampaikan) seolah-oleh ia tidak wujud. Mereka berpura-pura tiada orang yang belajar di sana berfikir seperti ini dan buat sesuatu mengenai perkara ini.

“Mereka mahu katakan 'semuanya baik-baik  sahaja’ dengan membuang sesuatu yang buatkan institusi mereka tidak selesa," katanya.

Luke berkata NUS bersalah apabila berusaha menapis tindakannya, kerana ia hanya membiarkan hirarki kuasa "yang mengabaikan, mengeksploitasi, membunuh, sehingga membuat rakyat bertikai sesama sendiri."

“Mereka sememangnya sebuah institusi yang ada hubungan dengan kerajaan. Mereka tidak berani menentang institusi yang berikan mereka kuasa akademik."

Luke menyifatkan tunjuk perasaannya sebagai satu "usaha kecil" yang diharapkan akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menentang keganasan dan mereka "yang terkesan dengan pelaksanaan hukuman mati".

"Saya memberikan ruang milik saya di atas pentas kepada Kalwant dan Norasharee. Kepada banduan bilik akhir. Kepada mereka yang menerima hukuman mati. Protes kecil bersaiz A4, untuk memberitahu bahawa keistimewaan naik pentas konvokesyen itu dibina di atas sistem ganas yang menindas ramai orang," tulis Luke mengenai tindakannya.

Kerajaan Singapura sering mengatakan undang-undang kerasnya adalah satu cara untuk mencegah jenayah dadah, berbeza dengan  Malaysia yang baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan meneruskan usaha untuk memansuhkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan dadah susulan moratorium yang dibuat terhadap hukuman tersebut.

Kritikan aktivis dan badan dalam negara dan antarabangsa terhadap dasar negara itu mengatakan ramai pesalah yang disabitkan hukuman mati adalah keldai dadah yang berasal daripada golongan miskin, sementara dalang dadah yang mengupah mereka sering dilihat bebas dan terlepas daripada hukuman.

Pandangan itu turut dikongsi oleh taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson dalam surat terbukanya kepada Presiden Singapura Halimah Yacob tahun lalu, di mana beliau merayu supaya banduan warga Malaysia yang merupakan orang kurang upaya mental Nagaenthran K Dharmalingam dilepaskan daripada hukuman mati.

Nagaenthran bagaimanapun tetap menjalani hukuman mati pada 27 April lalu walaupun dia didiagnosis mempunyai skor IQ rendah, di mana statusnya itu menjadikan hukuman terhadapnya menyalahi undang-undang di bawah perjanjian antarabangsa serta perlembagaan Singapura sendiri.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.