- Iklan -
Berita

Bagaimana autonomi universiti boleh keluarkan ahli akademik dari zon selesa

Tadbir urus universiti secara kendiri boleh mendorong penyelidik lebih aktif mencari sumber sendiri ketika persaingan tinggi dalam mendapatkan pembiayaan dan geran.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Pelajar mengulang kaji pelajaran di perpustakaan di sebuah universiti di Johor. Kebiasaannya, kerja-kerja penyelidikan dan kajian di universiti awam banyak bergantung dengan geran dan dana kerajaan. Gambar: AFP
Pelajar mengulang kaji pelajaran di perpustakaan di sebuah universiti di Johor. Kebiasaannya, kerja-kerja penyelidikan dan kajian di universiti awam banyak bergantung dengan geran dan dana kerajaan. Gambar: AFP

Kamarul (bukan nama sebenar) menghabiskan usia mudanya untuk menjalankan penyelidikan dan meraih satu demi satu sijil akademik sehingga bergelar doktor falsafah (PhD) dalam bidang matematik pada usia 29 tahun.

Sejak di bangku sekolah, dia amat gemar menyelesaikan masalah-masalah matematik sehingga digelar sebagai “Mat Math” oleh guru-guru dan rakan sekolah.

Minatnya yang begitu mendalam pada bidang tersebut mendorong dirinya menyambung pengajian sehingga ke United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) dengan pemberian biasiswa dan tajaan sebuah syarikat swasta terkemuka.

Habis pengajiannya, dia berjaya menempatkan diri dalam sebuah universiti awam sebagai seorang pensyarah dan penyelidik bagi bidang tersebut.

“Saya mahu selesaikan banyak masalah dan formula dalam matematik.

“Ada yang dah cecah lebih 300 tahun tapi masih tidak dapat diselesaikan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Namun kini, pada usia 38 tahun, Kamarul menemui dirinya berada di dalam pejabat sedang menyemak profil syarikat-syarikat untuk diaudit.

Dia berkata, sudah masuk dua tahun dia meninggalkan dunia akademik dan melupakan impiannya itu.

Alasannya, dunia penyelidikan kini bukan lagi tentang pencarian ilmu, sebaliknya satu kerja “melobi” untuk mendapatkan dana-dana kerajaan bagi tujuan penyelidikan.

Keadaan itu menyebabkan dia nekad meninggalkan universiti.

“Saya memang tidak mahir mempengaruhi pihak-pihak berkepentingan.

“Kesudahannya, bukan saya nak selesaikan masalah (matematik) tapi saya pula dapat masalah,” katanya sambil menambah dirinya kini berkhidmat sebagai salah seorang pengurus unit perolehan di sebuah firma audit swasta di Kuala Lumpur.

Sejak sekian lama, kerja-kerja penyelidikan di universiti awam di seluruh negara bergantung kepada pemberian geran dan dana kerajaan.

Setiap tahun, nilai dan jumlah dana akan diumumkan pada pembentangan belanjawan tahunan yang menjadi satu-satunya pengumuman yang dinantikan oleh seluruh warga akademik di Malaysia.

Bagaimanapun, selepas penganugerahan autonomi universiti sejak sedekad lalu, terdapat beberapa perubahan drastik berlaku terhadap cara-cara universiti mengagihkan dana kerajaan. Paling ketara, pembiayaan dana penyelidikan dan geran menurun secara mendadak.  

Geran-geran penyelidikan menjadi satu bentuk pelaburan yang lebih berorientasikan komersial dengan tempoh penyelidikan yang lebih cepat bagi mengurangkan kos dan risiko.

Bercerita lebih lanjut, Kamarul berkata, persaingan untuk mendapatkan geran dan dana menjadi lebih sengit selepas pelaksanaan autonomi.

Pada tahun akhir perkhidmatan di universiti, dia sudah membuat tiga kali permohonan untuk mendapatkan dana tetapi gagal dengan jawapan paling gemar diberikan oleh pentadbir universiti iaitu “impak terhad” (limited impact) dan “kurang petikan” (limited citation).

Katanya, apabila tiada dana dan geran penyelidikan ianya turut menjejaskan reputasi dan petunjuk prestasi utama KPI yang ditetapkan bawah bidang kuasa universiti masing-masing.

Menurut Kamarul, dia gagal memenuhi KPI selama tiga tahun berturut-turut dan menerima beberapa “peringatan” daripada dekan fakulti.

“Dalam dunia penyelidikan, tanpa geran dan KPI itu bermaksud anda di tali gantung.

“Ketika itu, saya mula berfikir tentang peluang yang lain dan berjumpa peluang dengan mereka yang baik-baik di syarikat ini.”

MalaysiaNow difahamkan, lebih ramai ahli akademik bertindak keluar daripada universiti awam seperti Kamarul kerana tidak lagi mampu berdepan isu kewangan dan permintaan pentadbir fakulti terhadap KPI penyelidikan.

Kualiti penyelidikan tidak memuaskan

Dalam pada itu, seorang bekas naib canselor sebuah universiti awam berkata sudah tiba masanya ahli akademik berdikari untuk mencari dana bagi menampung sumber penyelidikan masing-masing.

Noor Azlan Ghazali yang pernah berkhidmat dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, tradisi kerja-kerja penyelidikan di Malaysia sememangnya bergantung kepada dana awam melalui pemberian dan tawaran geran-geran kerajaan.

Katanya, situasi tersebut menyebabkan ramai ahli akademik berada di dalam zon yang selesa.

Katanya, sehingga satu tahap tiada pun dalam kalangan mereka yang meninggalkan bangunan universiti untuk membuat jaringan kerja dengan sektor swasta dan pihak luar akademik.

“Ahli-ahli akademik pun kena keluar juga tidak boleh duduk dalam kampus sahaja,” katanya kepada MalaysiaNow.

Mengulas lanjut, Azlan memberitahu pemerhatiannya selama ini sebagai ahli akademik dan pentadbir utama universiti mendapati kerja-kerja penyelidikan yang menggunakan pembiayaan dana kerajaan tidak mencapai kualiti pada standard yang sepatutnya.

“Mereka ambil mudah kerana ianya dana awam, siapa yang peduli?,” katanya.

Dengan mengambil contoh pengalamannya di UKM, Azlan berkata Sime Darby pernah memberikan dana untuk universiti tersebut menjalankan kajian dalam isu kelestarian.

Hasil kajian itu katanya sangat berbeza dengan kerja-kerja penyelidikan yang dilakukan oleh mereka yang mendapat dana daripada kerajaan.

“Jadi benda ni jangan pandang remeh, kalau anda dengar ramai pensyarah kata dulu (mereka) banyak duit, tapi (penyelidikan) tiada hasillah.

“Kalau betul-betul kajian mereka itu serious, sudah pasti sudah banyak pihak di sektor swasta sanggup untuk datang melabur.”

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan universiti awam di seluruh negara bergelut dengan krisis kewangan selepas penganugerahan autonomi universiti yang berhasrat untuk memberi laluan kepada sektor pengajian tinggi meningkatkan daya urus tadbir sendiri berada dalam keadaan “huru-hara”.

Perkembangan tersebut berlaku apabila ahli-ahli akademik yang berlatarbelakangkan kerja-kerja penyelidikan dan mendidik terpaksa menjadi “ahli perniagaan segera” untuk mendapatkan sumber kewangan sendiri bagi menampung perbelanjaan kerja-kerja penyelidikan masing-masing.

Azlan berpandangan peralihan budaya itu sebagai satu bentuk budaya akademik yang membina dan memberi ruang kepada para akademik untuk menggerakkan kerja-kerja penyelidikan kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menaja dan melabur.

“Keluar mencari dana untuk kerja-kerja penyelidikan bukannya berniaga, tetapi mengusahakan kerja-kerja penyelidikan.

“Benda-benda macam ni tiada dalam budaya akademik di Malaysia.” 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.