- Iklan -
Berita

Polis tahan teman lelaki wanita disyaki hina Islam

Dalam pada itu, polis turut memohon supaya reman disambung terhadap wanita tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Polis menahan pasangan yang disyaki menghina agama Islam ketika membuat di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur.
Polis menahan pasangan yang disyaki menghina agama Islam ketika membuat di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur.

Teman lelaki kepada wanita yang disyaki menghina Islam di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin dalam sebuah kenyataan berkata lelaki itu direman tiga hari sehingga Rabu (13 Julai) untuk siasatan lanjut. 

Noorsiah berkata pihaknya akan membuat permohonan sambung reman terhadap wanita yang ditahan pada Sabtu lepas bagi siasatan kes sama susulan tempoh reman akan tamat esok. 

Katanya, kertas siasatan berhubung kes itu akan segera dirujuk ke pejabat peguam negara dengan cadangan pertuduhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat).

Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, katanya.

Sebelum ini, sebuah video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata serta mengundang pelbagai komen netizen.

Perbuatannya itu telah mendapat sorakan dan gelak tawa dalam kalangan penonton kelab berkenaan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi